29 Disember 2011

PROGRAM CUTI SEKOLAH : KEM MOTIVASI REMAJA IDEAL 2011 BERSAMA JAZIM MOTIVATION GROUP DI MASJID AL-AZIM NEGERI MELAKA



BUKIT BARU - 23 DISEMBER : Masjid Al-Azim Masjid Negeri Melaka dengan kerjasama Jazim Motivation Group ( JMG ) telah menganjurkan satu Program Motivasi sempena cuti sekolah iaitu "Kem Motivasi Remaja Ideal 2011" bertemakan Ke Arah Melahirkan Remaja Rabbani pada 20 hingga 22 Disember 2011. Program selama 3 hari 2 malam ini telah disertai seramai 130 orang peserta yang terdiri daripada anak-anak berumur 10 tahun hingga 17 tahun. Apa yang menarik, program ini bukan sekadar disertai oleh anak-anak dari Melaka tetapi ia juga disertai oleh anak-anak dari Johor, Negeri Sembilan, Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Pulau Pinang, Sarawak dan juga Singapura. Bahkan pihak Pengurusan Masjid Al-Azim terpaksa menghadkan penyertaan disebabkan permintaan masyarakat untuk menyertai program ini terlalu tinggi. Ia terpaksa dilakukan demi menjamin keselesaan serta keberkesanan dalam memberi impak yang berguna kepada semua peserta.

Ustaz Fadly Sedang Menunjukkan Cara Rukuk Yang Betul Dalam Bengkel Solat

 Aktiviti Group Binding & Group Identiti Membina Keyakinan Diri Peserta

 Ustaz Fadly Dalam Slot Ceramah Motivasinya : Remaja Oh Remaja !!!

Jazim Motivation Group ( JMG ) seperti biasa telah mengatur beberapa modul dan pengisian yang mantop dan menarik selaras dengan objektif program yang telah digariskan. JMG diketuai Motivatornya iaitu Ustaz Mohd Fadly Bin Samin  bersama 8 fasilitatornya telah berjaya mengendalikan program ini dengan baik sehingga mendapat pujian daripada Datuk Ustaz Haji Muhammad Bin Hashim Al-Hafiz iaitu Imam Besar Masjid Al-Azim dalam ucapan perasmian penutup program ini. Antara pengisian yang telah diaturkan oleh Pihak Jazim adalah Ice-Breaking, Group Binding, Group Identiti, Kembara Sufi, Tahajjud & Qiammullail, Bengkel Al-Quran, Bengkel Aurat, Bengkel Solat, Malam Kebudayaan Islam, Public Speaking, Riadah, Team Building, Muhasabah Diri dan juga beberapa slot ceramah yang telah disampaikan oleh Pengarah Urusan Jazim sendiri merangkap Motivator JMG iaitu Ustaz Mohd Fadly Bin Samin, Imam 1 Masjid Al-Alami MITC Ayer Keroh iaitu Ustaz Mohd Hidhir Hamidon dan Aktivis Pertubuhan IKRAM Malaysia iaitu Ustaz Mohd Hanuar Bin Mohd Talib.

 Slot Muhasabah Diri Pasti Mengusik Jiwa Dan Pasti Mengalirkan Air Mata

Antara Aktiviti Yang Diadakan : Public Speaking Slot

Secara keseluruhannya semua peserta telah berjaya mengikuti setiap aktiviti dengan baik tanpa sebarang masalah malah pada hari terakhir, ada sebahagian peserta agak berat untuk meninggalkan kem kerana marasakan program ini amat bermakna untuk mereka. InsyaAllah, hasil perbincangan lisan antara Pengarah Urusan JMG bersama Imam Besar Masjid Al-Azim, satu program susulan akan diadakan pada musim cuti sekolah bulan Mac 2012 nanti. Malah perkara ini telah disebut oleh Imam Besar dalam ucapan perasmiannya. Pada majlis penutup, Kumpulan Mumtaz telah dinobatkan sebagai Juara daripada 10 kumpulan dan Adik Firdaus serta Adik Nazilah Al-Atiq telah dipilih sebagai peserta terbaik lelaki dan perempuan manakala Adik Ridhuan dan Adik Syafikah telah dipilih sebagai kepimpinan terbaik dalam program. Pihak Jazim ingin mengucapkan syabas dan tahniah buat semua pemenang dan semua peserta. 

 Para Peserta Membentangkan Hasil Kreatif Kumpulan Masing-Masing

Kenangan Yang Pasti Tidak Boleh Dilupa Dalam Aktiviti Kembara Sufi

Akhir sekali, pihak Jazim Motivation Group ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak Masjid Al-Azim Masjid Negeri Melaka khususnya Ustaz Mohd Sofi Karim di atas jalinan kerjasama yang telah diberikan. Semoga jalinan seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang. Untuk semua pembaca dan para peserta, boleh lihat gambar-gambar program yang lain di dalan facebook Jazim Motivation. Untuk mereka yang belum menjadi rakan facebook kami, jom sertai kami dalam facebook Jazim Motivation. Di sana banyak info dan gambar-gambar sepanjang program ini berlangsung. InsyaAllah.

SEMOGA ADIK-ADIK BERJAYA DI DUNIA DAN AKHIRAT
SALAM RINDU DARI KAMI WARGA JMG