11 Januari 2010

CERAMAH MOTIVASI JATI DIRI UST FADLY BERSAMA MAHASISWA KOLEJ SKILL TECH NEGERI MELAKA PEMBUKA TIRAI PROGRAM JAZIM TAHUN 2010

AYER KEROH - 7 JANUARI 2010 : Sahabat Belia Melaka dengan kerjasama Kolej Skill Tech, Durian Tunggal, Alor Gajah, Melaka telah menganjurkan "Program Jati Diri Siri Ke-7" untuk mahasiswa dan mahasiswi dari kolej berkenaan. Program yang telah disertai seramai 120 orang ini telah diadakan di Kem Botanikal, Ayer Keroh Melaka. Program ini akan diadakan selama 3 hari 2 malam dan para peserta akan diberikan pelbagai ilmu dan pengalaman bagi memastikan objektif program untuk melahirkan mahasiswa yang mempunyai daya kepimpinan yang unggul serta jati diri yang tinggi.

Ustaz Fadly Sedang Menemubual Salah Seorang Peserta Dalam Slot Ceramahnya
 
Sehubungan dengan itu, pihak penganjur telah menjemput Perunding Motivasi JMG iaitu Ustaz Mohd Fadly Bin Samin untuk membarisi senarai penceramah yang akan menjayakan Program Jati Diri ini. Ustaz Fadly diberi tanggungjawab untuk menyampaikan ceramah pada malam pertama di Surau Kem Botanikal Air Keroh Melaka dengan tajuk ceramahnya, "Maal Hijrah dan Tahun Baru, Di Manakah Kita ???" Turut serta mendengar ceramah beliau ialah Penyelaras Program iaitu Encik Syukri dan juga Encik Zaini antara orang kuat Sahabat Belia Melaka. Ceramah bermula pada jam 8 malam dan diakhiri dengan Solat Isyak yang dipimpin oleh Ustaz Fadly sekali. Pihak Jazim Motivation Group ingin mengucapkan jutaan terima kasih di atas jemputan ini dan mudah-mudahan jalinan kerjasama seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang.

2 Januari 2010

JAZIM MOTIVATION GROUP MELAKA DIPILIH MENGENDALIKAN "PROGRAM JATI DIRI BELIA HADHARI : KE ARAH GAGASAN 1MALAYSIA" DI PULAU PANGKOR PERAK

PULAU PANGKOR - 27 DISEMBER 2009 : Bahagian Pembangunan Rumahku Syurgaku (RKSK) Jabatan Ketua Menteri Melaka dengan kerjasama Gerakan Belia 4B (GB4B) Kampung Morten, Pusat Zakat Melaka (PZM) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah mengadakan satu program khas untuk para belia khususnya dari Kampung Morten Negeri Melaka. Program yang diberi nama "Program Jati Diri Belia Hadhari" ini telah diadakan di Pangkor Village, Pulau Pangkor, Perak Darul Ridzwan dan telah disertai seramai 70 orang para peserta dari GB4B Kampung Morten Melaka. Apa yang menarik Jazim Motivation Group telah dipilih oleh pihak penganjur untuk mengendalikan sepenuhnya program ini. Maka JMG hadir bersama 5 orang fasilitator yang dipilih ( Mohd Azri, Hizudin Asuad, Lokman Hakim, Fakhrul Islam ) dan diketuai oleh Perunding Motivasi JMG sendiri iaitu Ustaz Mohd Fadly Bin Samin.


Barisan Fasilitator Jazim Diberi Kepercayaan Mengendalikan Program Belia Melaka Di Perak

JMG bersama rombongan 2 buah bas dan sebuah van bertolak ke Perak kira-kira jam 11.00 malam dan tiba di Terminal Jetty Lumut pada jam 5.00 pagi. Jazim Group bersama rombongan menunaikan solat suboh di Masjid Lumut dan mencuri peluang untuk merehatkan diri dan makan sarapan di Terminal Jetty. Rombongan program ke Pangkor ini juga disertai Pengarah RKSK iaitu Ustaz Johari Bin Yusof dan beberapa pegawai RKSK yang lain. 

Seterusnya kami menaiki ferry ke Pulau Pangkor dan mengambil masa selama 30 minit. Setelah tibanya di sana, kami semua menaiki sebuah lagi kenderaan iaitu "Teksi Pink" ke Pangkor Village. Secara totalnya perjalanan mengambil masa selama 10 jam dan ia sangat memenatkan. Setelah tiba di Pangkor Village, para peserta dikumpulkan di dalam dewan berhawa dingin untuk diberikan taklimat. Taklimat program dan penginapan ini telah disempurnakan oleh Ustaz Mohd Fadly Bin Samin dan Pengarah RKSK iaitu Ustaz Johari Bin Yusof. Selepas itu, semua peserta dan urusetia diberi masa rehat hingga jam 2 petang sebelum aktiviti pertama dijalankan. JMG juga tidak melepaskan peluang untuk merehatkan diri sebelum menjalankan tugas mengendalikan program ini.



Para Peserta Sedang Beratur Untuk Masuk Ke Dalam Ferry Menuju Ke Pulau Pangkor Perak
 

Para Peserta Bersiap Sedia Mendengar Taklimat Yang Disampaikan Oleh Ustaz Fadly Samin
 
Menurut jurucakap pihak penganjur iaitu Ustaz Johari Bin Yusof yang juga merupakan Pengarah RKSK Jabatan Ketua Melaka merangkap Ketua GB4B Kampung Morten berkata : "Program ini dirancang untuk memberi motivasi dan jati diri kepada para peserta yang terdiri daripada golongan belia dan pelajar IPT terpilih agar mereka mampu keluar sebagai belia yang mempunyai keyakinan diri yang mantap selain memberi pendedahan kepada peserta tentang Gagasan 1Malaysia yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri Malaysia iaitu Dato' Seri Najib Bin Tun Razak. Mereka juga akan dididik sebagai seorang pemimpin kecil yang baik. Ini kerana golongan belia merupakan aset penting kepada negara kerana golongan inilah bakal memimpin negara pada masa akan datang. Oleh yang demikian, saya telah memilih Jazim Motivation Group untuk mengatur pengisian dan mengendalikan program ini sepenuhnya melalui Perunding Motivasinya iaitu Ustaz Mohd Fadly Bin Samin. Saya yakin dengan kemampuan JMG. Ini kerana JMG mempunyai barisan Fasilitator yang mantap dan mempunyai pengalaman yang luas dalam mengendalikan program-program seperti ini". Maka, JMG telah mengaturkan beberapa aktiviti yang menarik selaras dengan objektif dan misi yang telah ditetapkan oleh pihak penganjur. Antara aktiviti yang bakal dijalankan adalah Ice-Breaking, Group Binding, Group Identity, Ceramah, Muhasabah Diri, Team Building, Beach Game, Senamrobik, Kayak, Snockling, Public Speaking dan Malam Kebudayaan.



Encik Azri & Encik Lokman Mengendalikan Aktiviti Ice-Breaking & Group Binding

Para Peserta Sedang Berbincang Di Dalam LDK Tentang Identity Group Yang Bakal Dibentangkan



Salah Sebuah Kumpulan Membentangkan Identity Kumpulan Seperti Logo, Ahli & Motto Kumpulan

 
Tepat jam 2.00 petang (selepas makan tengahari), tas pertama JMG adalah mengendalikan aktiviti Ice-Breaking. Aktiviti ini telah diamanahkan kepada Saudara Mohd Azri dan Lokman Hakim Ibrahim. Aktiviti ini telah dijalankan di tepi pantai Pulau Pangkor. Pelbagai aktiviti dijalankan bertujuan mendekatkan diri para peserta dengan fasi dan urusetia, berkenalan antara satu sama lain, membuang sifat ego,sombong dan malu serta memupuk semangat kerjasama dan menghormati antara satu sama lain. Seterusnya peserta dibahagikan kepada 8 kumpulan dan diberikan tugasan untuk mencipta logo kumpulan, motto dan nama kumpulan. Hasilnya perlu dipersembahkan untuk tatapan semua peserta dan urusetia. Hasilnya memang memberangsangkan. Para peserta berjaya menunjukkan bakat, keberanian, kretiviti serta semangat kerjasama yang utuh sehingga mereka mampu mempersembahkan hasil kerja kumpulan yang menarik dan menghiburkan. Ganjarannya, semua peserta diberi peluang selama satu jam pada lewat sebelah petang untuk mandi laut dan bermain di tepi pantai yang begitu indah dan mengasyikkan. Pada sebelah malamnya telah diadakan Slot Muhasabah Diri yang telah dikendalikan oleh Ustaz Fadly. Seperti biasa, Ustaz Fadly menggunakan kepakarannya dan pengalamannya dalam mengendalikan slot ini sehingga para peserta dan urusetia mengalirkan air mata. Rata-rata peserta berasa kesal kerana dalam kehidupan mereka penuh dengan perkara yang negatif, mensia-siakan kehidupan, melakukan dosa dan lebih terharu kebanyakkan daripada peserta mengaku banyak melakukan kesilapan terhadap ibu dan bapa. Dihujung slot ini, Ustaz Fadly menyarankan kepada semua agar bangun melakukan perubahan selagi peluang dan ruang Allah berikan kepada kita. InsyaAllah hidup kita akan diberkati dan akan dipayungi rahmat Allah.



Ustaz Fadly Dengan Gayanya Yang Tersendiri Mengendalikan Slot Muhasabah Diri
 
Keesokan harinya selepas solat suboh, para peserta dikehendaki turun ke padang untuk menjalani aktiviti senamrobik. Apa yang menarik aktiviti senamrobik ini telah dikendalikan oleh Instructor yang Profesional. Mereka terdiri daripada jurulatih dan instructor senamrobik di Bukit Serindit Melaka. Rata-rata para peserta seronok. Sambil bersenamrobik dan berpoco-poco sambil itu menghirup udara pagi yang segar di tepi pantai. Selepas sarapan, para peserta akan menjalani beberapa slot ceramah di dalam dewan yang berhawa dingin dan akan dikendalikan oleh Jazim Motivation Group. Ceramah pertama telah disampaikan oleh Ustaz Mohd Fakhrul Islam Md Zarin dengan tajuknya "Ibadah Kunci Kecemerlangan Diri" manakala ceramah kedua telah disampaikan oleh Ustaz Mohd Hizudin Asuad Ahmad dengan tajuk ceramahnya "Falsafah Islam Hadhari & Ke Arah Membentuk Generasi 1Malaysia". Para peserta telah menunjukkan disiplin yang baik sepanjang ceramah dijalankan dengan memberi tumpuan sepenuhnya terhadap content.



Ustaz Fakhrul Sedang Menyampaikan Ceramahnya Dalam Aktiviti Pengisian Ilmu


Para Peserta Sedang Kusyuk Mendengar Ceramah Yang Telah Disampaikan Oleh Ust Fakhrul & Ust Hizudin


Antara Gelagat Peserta Dalam Aktiviti Senamrobik Yang Diadakan Di Sebelah Pagi

Sebelum acara sebelah petang bermula ( aktiviti kayak & beach game ), satu majlis perasmian telah dilakukan secara tertutup di dalam Dewan dan telah disempurnakan oleh Puan Hjh Zaleha Mohd yang telah diterbangkan dari Beijing China. Puan Hjh Zaleha ini merupakan Penasihat GB4B Kampung Morten merangkap Ketua Wanita UMNO Cawangan dan AJK Wanita UMNO Bahagian Kota Melaka. Setelah Majlis Perasmian ini berlangsung, aktiviti disambung dengan aktiviti berkayak. Semua peserta diajar dan diberi peluang berkayak. Slot ini telah dikendalikan oleh Saudara Lokman dan dibantu oleh Fasilitator Jazim yang lain. Rata-rata peserta seronok menjalani aktiviti ini walaupun ada sebahagian kecil kayak peserta terbalik akibat daripada teknik pengendalian yang salah. Apapun, setiap peserta telah dibekalkan dengan jaket keselamatan bagi mengelak kejadian yang tidak diingini berlaku. Acara bersambung dengan aktiviti beach game iaitu perlawanan bola tampar dan bola jaring. Sebelah malamnya pula adalah acara yang dinanti-nantikan iaitu Malam Kebudayaan yang di Hoskan oleh Saudara Azri dan Lokman sambil para peserta, urusetia, fasilitator dan semua AJK Penganjur dihidangkan dengan makanan laut yang dimasak secara BBQ. Memang menyeronokkan ditambah makanan yang sedap dan lazat serta persembahan istimewa dari Pengarah RKSK kita iaitu Ustaz Johari.

Ustaz Johari (Pengarah RKSK) Menyampaikan Ucapan Semasa Majlis Perasmian Program


Barisan AJK Program Tertinggi "Jati Diri Belia Hadhari : Ke Arah Gagasan 1 Malaysia"


Antara Persembahan Peserta Dalam Malam Kebudayaan & Makan Besar BBQ

Suasana Malam Kebudayaan & Jamuan BBQ Di Tepi Pantai Pulau Pangkor Perak


Udang Putih Panggang Antara Menu BBQ Yang Disediakan Pada Malam Kebudayaan
Keesokan paginya selepas sarapan pagi, aktiviti terakhir adalah aktiviti snockling. Para peserta akan di bawa ke Coral Island dengan menaiki bot laju yang disediakan oleh pihak Pangkor Village. Rata-rata peserta seronok menjalani aktiviti ini sambil melihat keindahan ciptaan Allah. Para peserta juga diberi peluang untuk mandi di Pulau Buam dan dibawa mengelilingi beberapa pulau kecil sekitar Pulau Pangkor. Setelah tamat aktiviti snockling ini, para peserta bersiap sedia untuk checkout daripada penginapan. Tepat jam 12.30 tengahari (selepas makan), para peserta dan urusetia bersiap sedia untuk pulang ke Melaka melalui Terminal Jetty Pangkor. Sebelum itu, para peserta diberi peluang untuk membeli belah di Pekan Pangkor selama sejam. Tepat jam 3 petang, ferry membawa kami dari Terminal Jetty Pangkor ke Terminal Jetty Lumut. Dalam ferry dilihat semua peserta melelapkan mata. Mungkin agak kepenatan setelah 3 hari menjalani aktiviti yang padat dan menyeronokkan. Lebih kurang jam 4 petang, saya bersama fasilitator Jazim yang lain terus pulang ke Melaka. Program ini juga merupakan penutup tirai JMG untuk tahun 2009. Semoga 2010 ada lagi sinar kejayaan yang akan menyusul. InsyaAllah. Di sini dipaparkan beberapa keping gambar aktiviti yang dijalankan sepanjang program di sana. Selamat Menyambut Tahun Baru 2010 !!!



Pihak Jazim Motivation Group ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua terutama pihak penganjur utama iaitu Bahagian Pembangunan Rumahku Syurgaku Jabatan Ketua Menteri Melaka kerana memberi kepercayaan kepada JMG mengendalikan program ini. Banyak input yang telah dapat dikongsikan bersama dan pihak JMG juga mendapat banyak input daripada para peserta berkaitan kehendak dan naluri belia era kini. Diharapkan kepada semua peserta dapat mengambil segala ilmu dan pengalaman yang telah diperolehi dalam program ini untuk menjadi belia yang berwibawa, berilmu dan matang menangani pelbagai ujian serta cabaran masakini. InsyaAllah..

BELIA PEMANGKIN KESEJAHTERAAN UMMAH DAN NEGARA
SELAMAT MENYAMBUT TAHUN BARU 2010 !!!

TAHNIAH JAZIM !!! 20 ORANG PELAJAR PTJM CEMERLANG PMR 2009 !!!

AYER MOLEK - 24 DISEMBER 2009 : Selepas Pusat Tuisyen Jazim (PTJM) berjaya melahirkan 28 orang pelajar cemerlang UPSR 2009 baru-baru ini, warga Jazim khususnya Tenaga Pengajar PTJM sekali lagi mendapat berita gembira apabila 20 orang pelajar daripada 35 orang calonnya berjaya mendapat keputusan yang cemerlang setelah keputusan PMR 2009 diumumkan hari ini. Apa yang menarik statistik pelajar Jazim yang berjaya mendapat 9A & 8A juga meningkat. Satu keputusan di luar jangkaan kerana melihat kepada pencapaian akademik pelajarnya tahun ini adalah dikalangan kelompok pelajar sederhana tetapi para pelajar dan guru-guru di Jazim terus berusaha dengan lebih gigih bagi memastikan keputusan PMR 2009 lebih baik daripada 2008. Hasilnya satu kejayaan di luar jangka berhak diraikan bersama.


Mengimbas Kembali Kegigihan Sebahagian Para Pelajar PMR Jazim Di Pusat Tuisyen Jazim
Jika melihat kepada keputusan PMR 2008, PTJ hanya berjaya melahirkan 2 orang pelajar yang mendapat keputusan 8A, 2 orang mendapat 7A, 3 orang mendapat 6A, 4 orang mendapat 5A dan 3 orang mendapat 4A. Berbanding keputusan PMR pada tahun 2009 ini. Kali ini PTJ berjaya menghasilkan 5 orang pelajar yang berjaya mendapat keputusan 9A, 4 orang pelajar yang berjaya mendapat 8A, 5 orang pelajar berjaya mendapat 7A, 3 orang pelajar berjaya mendapat 6A dan 3 orang berjaya mendapat keputusan 5A. Apa yang menarik salah seorang pelajar yang belajar di Pusat Tuisyen Jazim dipilih sebagai salah seorang penerima Anugerah Pelajar Cemerlang PMR Negeri Melaka. Beliau yang dimaksudkan adalah Adik Syarifudin. Beliau merupakan seorang pelajar yang rajin walaupun beliau mempunyai kekurangan iaitu rabun tahap kritikal. Beliau terpaksa menggunakan kanta khas untuk belajar dan menjawab soalan peperiksaan. Kekurangan itu tidak mematahkan semangat adik syarifudin ini malah beliau gigih dan akhirnya beliau berjaya mendapat 7A dalam PMR. Tahniah dan Syabas !!!


Pengetua PTJ (Ust Fadly) Mampu Mengukirkan Senyuman Setelah Anak Didiknya Berjaya
Menurut kata Pengetua PTJ iaitu Ustaz Fadly : "Saya mengucapkan syukur kerana keputusan PMR pada tahun ini jauh lebih baik daripada tahun 2008. Tahun lepas pelajar PTJ tidak ada yang mendapat 9A tetapi tahun ini kita berjaya menghasilkan 5 orang yang berjaya dapat 9A malah kita juga berjaya menambah bilangan pelajar yang mendapat keputusan PMR 7A dan 8A. Ini satu bukti yang jelas bahawa para pelajar yang berusaha gigih, rajin ditambah dengan bantuan guru-guru Jazim yang sememangnya hebat dan pakar dalam setiap subjek yang diajar mampu menghasilkan keputusan yang cemerlang. Saya sebagai pengetua di PTJ ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada guru-guru yang terlibat kerana tanpa usaha yang gigih, kemungkinan besar kejayaan yang kita kecapi hari ini tidak mampu kita gapai. Buat adik- adik yang berjaya tahniah saya ucapkan. Nasihat saya pada anda, teruskan usaha dan kejarlah cita-cita anda bermula hari ini. Buat adik-adik yang kurang cemerlang, jangan bimbang. Gagal sekali tidak bermakna anda gagal buat selamanya. Mungkin ada hikmah disebaliknya. Kita kena renung di mana silap kita. Mungkin kita telah berusaha dengan bersungguh-sungguh tetapi dalam masa yang sama hubungan kita dengan Allah kita tak jaga. Maka perbaikilah segala kesilapan agar sinar kejayaan akan menerangi anda pada masa depan".


Pengetua PTJ (Ust Fadly) Bersama Sebahagian Anak Didik Jazim Di Pusat Tuisyen Jazim

Pusat Tuisyen Jazim sekali lagi ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada pelajar yang berjaya. Sebenarnya kejayaan ini adalah milik anda !!! Anda patut dan berhak meraikannya. InsyaAllah, PTJ akan terus berusaha melahirkan lebih ramai pelajar yang berjaya pada masa akan datang. Buat guru-guru Jazim terima kasih sekali lagi. Kita doakan agar tahun 2010 ini adalah tahun yang lebih gemilang untuk Pusat Tuisyen Jazim dan juga Jazim Motivation Group. InsyaAllah...

SYABAS & TAHNIAH BUAT SEMUA WARGA JAZIM !!!

1 Januari 2010

USTAZ FADLY ANTARA PENCERAMAH JEMPUTAN DI DALAM KURSUS INTEGRITI KELUARGA CEMERLANG DI AUDITORIUM SERI NEGERI.

SERI NEGERI - 24 DISEMBER 2009 : Bahagian Pembangunan Rumahku Syurgaku (RKSK) Jabatan Ketua Menteri Melaka dengan kerjasama Kerajaan Negeri Melaka telah mengadakan "Kursus Integriti Keluarga Cemerlang Peringkat Negeri Melaka" dan telah diadakan selama sehari di Auditorium Seri Negeri, Negeri Melaka. Kursus yang dibuat secara percuma ini telah dihadiri seramai 420 orang peserta yang terdiri daripada kakitangan awam yang berkhidmat di pelbagai sektor awam dan kerajaan negeri. Apa yang menarik, kursus ini juga telah menarik minat beberapa peserta dikalangan Bukan Islam walaupun content kursus ini lebih merujuk kepada sistem kekeluargaan mengikut Ajaran Agama Islam.


Sebahagian Peserta Membuat Pendaftaran Sebelum Memasuki Auditorium Seri Negeri Ayer Keroh Melaka
Menurut jurucakap pihak penganjur iaitu Ustaz Sri Jeelani Bin Isah yang juga merupakan Pegawai dari Rumahku Syurgaku Jabatan Ketua Menteri Melaka, "Kursus ini bertujuan memberi pendedahan kepada para peserta agar dapat membentuk sebuah keluarga yang harmoni dan sejahtera mengikut Ajaran Islam serta mampu menjadi pemangkin kesejahteraan Ummah. Ini berdasarkan kepada realiti dan isu dalam institusi keluarga serta masyarakat kita yang banyak terlibat dengan perkara negatif dan membawa kepada kehancuran dalam institusi keluarga. Diharapkan dengan adanya kursus percuma seperti ini, para peserta akan mendapat banyak input dan mengamalkan apa yang telah dipelajari seterusnya membantu kerajaan negeri yang berhasrat melahirkan masyarakat yang berilmu dan bertamadun dan ia perlu dimulai dari institusi keluarga (rumah). Mudah-Mudahan ia akan menjadi kenyataan. InsyaAllah".


Pengarah RKSK JKMM Ustaz Johari Bin Yusof Sedang Memberikan Ucapan Alu-Aluan


Antara Ratusan Peserta Sedang Khusyuk Mengikuti Setiap Ceramah Yang Diadakan

Terdapat Peserta Kursus Yang Bukan Beragama Islam Turut Menyertai Kursus Ini

Bagi memenuhi hasrat dan objektif kursus, Pihak Penganjur telah membariskan 4 orang penceramah yang hebat dan terkenal di Negeri Melaka. Mereka terdiri daripada Dr.Rubiah (Motivator dari THZ Counsultant), Ustaz Mohd Fadly Samin (Perunding Motivasi JMG), Ustaz Rahimin Bin Bani (Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasaan JAIM) dan Tn Hj Sulaiman Bin Daud (Penceramah Bebas). Kursus dimulakan dengan Ucapan Alu-Aluan Oleh Pengarah Bahagian Pembangunan Rumahku Syurgaku Jabatan Ketua Menteri Melaka iaitu Ustaz Johari Bin Yusof. Ia disusuli dengan Ceramah 1 yang bertajuk "Pendidikan Keibubapaan" yang telah disampaikan oleh Ustaz Mohd Fadly Bin Samin. Selepas rehat ceramah disambung kembali oleh Ustaz Rahimin Bin Bani dengan tajuk ceramahnya "Pendidikan Awal Kanak-Kanak dan Remaja". Seterusnya disusuli dengan ceramah 3 oleh Tn Hj Sulaiman Daud dengan tajuknya "Usia Emas Uswatul Khatimah". Kursus berhenti rehat dan disambung kembali pada sebelah petang oleh Dr.Rubiah dengan ceramah motivasinya yang bertajuk "Ke Arah Membina Keluarga Yang Cemerlang Dan Berintegriti". Rata-rata para peserta berpuas hati dan seronok kerana mendapat banyak input di dalam kursus ini untuk diamalkan dalam kehidupan.


Ustaz Fadly Menerima Cenderahati Dari Penolong Pengarah RKSK (Ustaz Bazri Abu Bakar)

Bagi Pihak JMG, Ustaz Fadly ingin mengucapkan jutaan terima kasih di atas jemputan dan kepercayaan yang telah diberikan. Untuk pengetahuan, daripada barisan 4 orang penceramah yang telah dipilih, Ustaz Fadly merupakan penceramah paling muda yang telah diberi tanggungjawab dalam mengendalikan kursus-kursus besar seperti ini. Apapun terima kasih tidak terhingga kepada pihak penganjur terutamanya pihak RKSK JKMM. Bagi memperingati jasa dan sumbangan Ustaz Fadly dalam menjayakan kursus ini, pihak penganjur melalui Penolong Pengarah RKSK iaitu Ustaz Bazri Bin Abu Bakar telah menyampaikan cenderahati kepada Ustaz Fadly. Doa dan harapan semua agar usaha murni seperti ini dapat dijalankan lagi demi mengembangkan syiar Islam dan memartabatkan Institusi Kekeluargaan Acuan Islam.

BERSAMA MEMBINA SEBUAH KELUARGA YANG HARMONI MENGIKUT ACUAN DAN AJARAN ISLAM

CERAMAH MAAL HIJRAH 1431H BERSAMA USTAZ MOHD FADLY BIN SAMIN DI IPK BUKIT BERUANG NEGERI MELAKA


BUKIT BERUANG - 16 DISEMBER 2009 : Ibu Pejabat Polis Kontijen Melaka (IPK) Bukit Beruang dengan kerjasama Bahagian Pembangunan Rumahku Syurgaku (RKSK) Jabatan Ketua Menteri Melaka telah mengadakan Ceramah Maal Hijrah sempena Sambutan Maal Hijrah (1431H) Peringkat IPK Bukit Beruang Negeri Melaka dengan kerjasama Badan Kerohanian Dan Kaunseling (BAKA) dan telah diadakan di Auditorium pada 16 Disember 2009 bermula jam 10.30 pagi.


Ustaz Fadly Duduk Di Atas Pentas Bersama Pengerusi BAKA IPK Negeri Melaka

Pihak penganjur telah menjemput Perunding Motivasi JMG iaitu Ustaz Mohd Fadly Bin Samin untuk menyampaikan ceramah dengan tajuknya "Tahun Baru Sambutannya Menurut Perspektif Islam". Tepat jam 10.15 Pagi, Ustaz Fadly diiringi Pegawai dari RKSK sampai ke lokasi program dan telah disambut oleh beberapa pegawai polis di sana. Dalam ceramahnya selama satu jam, Ustaz Fadly telah menerangkan berkaitan peristiwa Hijrah Rasulullah, hikmah dan pengajarannya serta mendedahkan fenomena masyarakat kini yang menyambut tahun baru dipenuhi dengan acara yang melalaikan dan berunsurkan maksiat. Ustaz Fadly juga ada menyarankan kepada peserta yang hadir terdiri daripada semua Pegawai Polis lapisan pangkat dan kakitangan dari 7 jabatan agar memperbanyakkan berdoa, bermuhasabah dan menambah amalan kerana tahun baru ini sebenarnya mendekatkan kita dengan tarikh kematian yang kita sendiri tidak tahu.

Ustaz Fadly Samin Memulakan Ceramahnya Bersempena Sambutan Maal Hijrah


Antara Pegawai Polis Dan Anggota Beruniform Lelaki Yang Hadir

Antara Kakitangan Dan Pegawai Polis Wanita Di IPK Bukit Beruang Yang Hadir

Dihujung majlis, adalah acara penyampaian cenderahati kepada Ustaz Fadly dan telah disampaikan oleh Pengerusi BAKA iaitu Ustaz Nizam bagi mewakili Ketua Polis Melaka yang tidak dapat hadir kerana ada tugasan yang perlu diselesaikan. Pihak Jazim dengan ini mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak penganjur. Semoga dengan setiap apa yang dilakukan akan diberkati dan diredhoi Allah. InsyaAllah. Di sini saya bagi mewakili Pihak JMG mengucapkan Selamat Menyambut Tahun Baru Hijrah Yang Ke 1431H. Semoga tahun baru ini akan memberi sinar kejayaan dan kebahagiaan yang lebih bermakna dalam hidup kita semua.



"SELAMAT MENYAMBUT TAHUN BARU HIJRAH YANG KE 1431 DARI WARGA JAZIM"


PENGHUNI RUMAH BUDAK LAKI-LAKI TUN ABDUL AZIZ DURIAN DAUN SERTAI PROGRAM MOTIVASI BERSAMA JAZIM MOTIVATION GROUP DI MASJID SELAT PULAU MELAKA.


PULAU MELAKA - 22 NOVEMBER 2009 : Jazim Motivation Group Melaka dengan kerjasama Unit Psikologi Rumah Budak Laki-Laki Tun Abdul Aziz Melaka (RBLDD) telah mengadakan satu Program Motivasi untuk para penghuni RBL yang dinamakan "Program Motivasi Dan Sahsiah Diri". Program ini telah disertai seramai 40 orang peserta dan telah diadakan di Masjid Selat Pulau Melaka selama 3 Hari 2 Malam bermula 20 November 2009 sehingga 22 November 2009.

Para Peserta Program Bersama Barisan Fasilitator Dari Jazim Motivation Group ( JMG )

Menurut jurucakap dari RBLDD iaitu Encik Zabri yang juga merupakan Pegawai Psikologi di RBLDD, "Program ini telah dirancang sejak 3 bulan yang lalu dan perbincangan sentiasa dibuat bersama Perunding Motivasi JMG sendiri iaitu Ustaz Mohd Fadly Bin Samin. Antara objektif kita laksanakan program ini adalah untuk memberi pendedahan kepada penghuni RBLDD berkaitan jati diri, sahsiah diri, ibadah dan juga motivasi diri serta bagaimana mahu meningkatkan keyakinan dalam diri mereka agar mereka tidak rasa tersisih bila bercampur dengan masyarakat dan mereka juga perlu tahu bahawa mereka juga boleh berjaya seperti mana orang lain walaupun dengan kekurangan yang ada pada diri mereka. Saya memberi sepenuh kepercayaan kepada Jazim Motivation Group serta barisan fasilitatornya untuk mengendalikan program ini dan saya yakin JMG mampu membantu para penghuni ini".

Antara Wajah Peserta Yang Menyertai Program Motivasi & Sahsiah Diri Ini
 
Antara aktiviti yang dilaksanakan oleh Jazim Motivation Group ialah Ice-Breaking, Mind Setting, Latihan Dalam Kumpulan (LDK), Ceramah Motivasi, Slot Muhasabah Diri, Team Building, Tasmik Bacaan Solat, Public Speaking, Riadah, Solat Berjemaah, Qiammullail Dan Slot Group Identity. Menurut Perunding Motivasi JMG iaitu Ustaz Mohd Fadly Bin Samin, Program ini telah berjaya membuka minda peserta untuk lebih maju kehadapan dan bersedia melakukan perubahan dalam diri atas kehendak dan anisiatif diri demi kemajuan dan masa depan mereka dalam menghadapi dunia yang penuh mencabar. Terima kasih buat semua barisan fasilitator saya yang terdiri daripada sahabat ayie, hizudin, lokman, zulhelmi, fakhrul, mubarak dan zul kuis. Saya mengharapkan agar adik-adik ini terus diberikan peluang dan ilmu yang bermanfaat agar mereka lebih berasa yakin dan jati diri mereka lebih utuh.


Salah Satu Kumpulan Membentangkan Hasil Kerja Logo Kumpulan Mereka 

Secara keseluruhannya para peserta dapat mengikuti setiap aktiviti dengan baik dan dari riak wajah peserta ternyata mereka seronok beraktiviti dengan disulami roh islam dalam diri mereka. Majlis Perasmian Penutup telah diadakan di tingkat 2 Masjid Selat ini. Apa yang menarik, Majlis Perasmian Penutup ini telah dirasmikan sendiri oleh Lembaga Pengarah Rumah Budak Laki-Laki Tun Abdul Aziz iaitu Datuk Amid Bin Nordin yang juga merupaka Mantan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telok Mas Melaka. Berikut dipaparkan beberapa gambar berkaitan aktiviti yang telah dijalankan bersama Jazim Motivation Group di sana :



Pihak Jazim Group ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada Pihak Rumah Budak Laki-Laki Tun Abdul Aziz Melaka kerana memberi peluang dan kepercayaan kepada pihak Jazim bagi mengendalikan program ini sepenuhnya. Doa dan harapan agar kerjasama ini dapat diteruskan pada masa akan datang. InsyaAllah.

SELAMAT BERJUANG BUAT ADIK-ADIK RBL DDM DARIPADA JMG