1 Januari 2010

USTAZ FADLY ANTARA PENCERAMAH JEMPUTAN DI DALAM KURSUS INTEGRITI KELUARGA CEMERLANG DI AUDITORIUM SERI NEGERI.

SERI NEGERI - 24 DISEMBER 2009 : Bahagian Pembangunan Rumahku Syurgaku (RKSK) Jabatan Ketua Menteri Melaka dengan kerjasama Kerajaan Negeri Melaka telah mengadakan "Kursus Integriti Keluarga Cemerlang Peringkat Negeri Melaka" dan telah diadakan selama sehari di Auditorium Seri Negeri, Negeri Melaka. Kursus yang dibuat secara percuma ini telah dihadiri seramai 420 orang peserta yang terdiri daripada kakitangan awam yang berkhidmat di pelbagai sektor awam dan kerajaan negeri. Apa yang menarik, kursus ini juga telah menarik minat beberapa peserta dikalangan Bukan Islam walaupun content kursus ini lebih merujuk kepada sistem kekeluargaan mengikut Ajaran Agama Islam.


Sebahagian Peserta Membuat Pendaftaran Sebelum Memasuki Auditorium Seri Negeri Ayer Keroh Melaka
Menurut jurucakap pihak penganjur iaitu Ustaz Sri Jeelani Bin Isah yang juga merupakan Pegawai dari Rumahku Syurgaku Jabatan Ketua Menteri Melaka, "Kursus ini bertujuan memberi pendedahan kepada para peserta agar dapat membentuk sebuah keluarga yang harmoni dan sejahtera mengikut Ajaran Islam serta mampu menjadi pemangkin kesejahteraan Ummah. Ini berdasarkan kepada realiti dan isu dalam institusi keluarga serta masyarakat kita yang banyak terlibat dengan perkara negatif dan membawa kepada kehancuran dalam institusi keluarga. Diharapkan dengan adanya kursus percuma seperti ini, para peserta akan mendapat banyak input dan mengamalkan apa yang telah dipelajari seterusnya membantu kerajaan negeri yang berhasrat melahirkan masyarakat yang berilmu dan bertamadun dan ia perlu dimulai dari institusi keluarga (rumah). Mudah-Mudahan ia akan menjadi kenyataan. InsyaAllah".


Pengarah RKSK JKMM Ustaz Johari Bin Yusof Sedang Memberikan Ucapan Alu-Aluan


Antara Ratusan Peserta Sedang Khusyuk Mengikuti Setiap Ceramah Yang Diadakan

Terdapat Peserta Kursus Yang Bukan Beragama Islam Turut Menyertai Kursus Ini

Bagi memenuhi hasrat dan objektif kursus, Pihak Penganjur telah membariskan 4 orang penceramah yang hebat dan terkenal di Negeri Melaka. Mereka terdiri daripada Dr.Rubiah (Motivator dari THZ Counsultant), Ustaz Mohd Fadly Samin (Perunding Motivasi JMG), Ustaz Rahimin Bin Bani (Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasaan JAIM) dan Tn Hj Sulaiman Bin Daud (Penceramah Bebas). Kursus dimulakan dengan Ucapan Alu-Aluan Oleh Pengarah Bahagian Pembangunan Rumahku Syurgaku Jabatan Ketua Menteri Melaka iaitu Ustaz Johari Bin Yusof. Ia disusuli dengan Ceramah 1 yang bertajuk "Pendidikan Keibubapaan" yang telah disampaikan oleh Ustaz Mohd Fadly Bin Samin. Selepas rehat ceramah disambung kembali oleh Ustaz Rahimin Bin Bani dengan tajuk ceramahnya "Pendidikan Awal Kanak-Kanak dan Remaja". Seterusnya disusuli dengan ceramah 3 oleh Tn Hj Sulaiman Daud dengan tajuknya "Usia Emas Uswatul Khatimah". Kursus berhenti rehat dan disambung kembali pada sebelah petang oleh Dr.Rubiah dengan ceramah motivasinya yang bertajuk "Ke Arah Membina Keluarga Yang Cemerlang Dan Berintegriti". Rata-rata para peserta berpuas hati dan seronok kerana mendapat banyak input di dalam kursus ini untuk diamalkan dalam kehidupan.


Ustaz Fadly Menerima Cenderahati Dari Penolong Pengarah RKSK (Ustaz Bazri Abu Bakar)

Bagi Pihak JMG, Ustaz Fadly ingin mengucapkan jutaan terima kasih di atas jemputan dan kepercayaan yang telah diberikan. Untuk pengetahuan, daripada barisan 4 orang penceramah yang telah dipilih, Ustaz Fadly merupakan penceramah paling muda yang telah diberi tanggungjawab dalam mengendalikan kursus-kursus besar seperti ini. Apapun terima kasih tidak terhingga kepada pihak penganjur terutamanya pihak RKSK JKMM. Bagi memperingati jasa dan sumbangan Ustaz Fadly dalam menjayakan kursus ini, pihak penganjur melalui Penolong Pengarah RKSK iaitu Ustaz Bazri Bin Abu Bakar telah menyampaikan cenderahati kepada Ustaz Fadly. Doa dan harapan semua agar usaha murni seperti ini dapat dijalankan lagi demi mengembangkan syiar Islam dan memartabatkan Institusi Kekeluargaan Acuan Islam.

BERSAMA MEMBINA SEBUAH KELUARGA YANG HARMONI MENGIKUT ACUAN DAN AJARAN ISLAM

Tiada ulasan: