1 Julai 2011

SEMINAR KECEMERLANGAN PELAJAR UNTUK ANAK-ANAK AHLI KOPERASI PEGAWAI KERAJAAN NEGERI MELAKA BERHAD BERSAMA JMG


BUKIT BARU - 4 JUN 2011 :
Koperasi Pegawai Kerajaan Negeri Melaka Berhad dengan kerjasama Jazim Motivation Group telah mengadakan satu Seminar Motivasi untuk 70 orang anak-anak ahli koperasi yang telah diadakan di Dewan Seminar JMG Bukit Baru Melaka. Seminar sehari ini diadakan bertujuan memberi pendedahan kepada peserta cara dan bagaimana strategi yang digunakan oleh Pelajar Cemerlang Malaysia sehingga berjaya dengan cemerlang dalam peperiksaan. Jazim Motivation Group telah dipilih dan dilantik oleh pihak koperasi bagi mengendalikan sepenuhnya seminar ini yang berlangsung dari jam 8 pagi hingga 5 petang.

Salah Seorang Peserta Sedang Mendaftar Diri Untuk Menyertai Seminar Ini

Jazim Motivation Group diketuai Moderatornya Ustaz Mohd Fadly Bin Samin telah mengatur beberapa slot yang dapat membantu peserta mencapai objektif seminar yang telah ditetapkan oleh pihak koperasi. Seminar dimulakan dengan Majlis Perasmian yang telah disempurnakan oleh Pengerusi Koperasi Pegawai Kerajaan Negeri Melaka Berhad iaitu Encik Malik Bin Nong. Dalam ucapan perasmiannya, beliau ada menyentuh soal pendidikan anak-anak serta pencapaian akademik anak-anak khususnya anak-anak ahli koperasi. Beliau mengharapkan dengan adanya seminar atau program seumpama ini sekurang-kurangnya dapat membantu anak-anak ahli koperasi lebih bersedia menghadapi peperiksaan pada masa akan datang. Beliau juga yakin bahawa Jazim Motivation Group mampu merealisasikan hasrat murni pihak koperasi bagi membantu melahirkan anak-anak yang cemerlang, gemilang dan terbilang. InsyaAllah. Semua Ahli Lembaga Pengarah Koperasi turut hadir menyaksikan Majlis Perasmian Pembukaan Seminar Kecemerlangan Pelajar pada tahun ini.

Semua Peserta Khusyuk Mendengar Ucapan Perasmian Daripada Pengerusi Koperasi

Ustaz Hanuar Talib Sedang Memberikan Ceramahnya Dalam Slot Yang Pertama

Seminar pada kali ini menampilkan tiga orang penceramah hebat dan berpengalaman dalam program-program seumpama ini. Untuk slot yang pertama, pihak JMG telah menjemput Ustaz Mohd Hanuar Talib bagi membentangkan Modul Pengenalan Diri & Kunci Kecemerlangan Pelajar. Modul ini menekankan aspek potensi diri dan faktor-faktor yang menyebabkan seseorang pelajar itu gagal dan berjaya dalam bidang akademik. Rata-rata pelajar amat seronok dan tertarik dengan gaya dan pendekatan yang digunakan oleh ustaz. Slot kedua pula giliran Cik Siti Nasirah atau lebih dikenali sebagai Kak Nas yang juga merupakan salah seorang Trainer dalam Jazim Motivation Group. Kak Nas dalam slotnya membentangkan Modul Penetapan Matlamat serta Tips-Tips Menghadapi Peperiksaan. Pendekatan Kak Nas agak berbeza. Beliau lebih suka menggunakan komunikasi dua hala dalam mewujudkan suasana seminar yang tidak pasif dan berjaya.

Ustaz Fadly Dengan Gaya Dan Pendekatan Yang Sungguh Menarik Perhatian Pelajar

Para Peserta Seronok Dan Tergelak Dalam Slot Ceramah Bersama Ustaz Fadly

Pada sebelah petang pula giliran Ustaz Mohd Fadly bagi mengisi slot yang terakhir iaitu Modul Strategi Cemerlang Malaysian Top Students serta Motivasi Pecutan Terakhir. Dalam slot bersama Ustaz Fadly pasti para pelajar tidak kering gusi melihat kepada gaya dan pendekatan yang dibawa oleh Ustaz Fadly bagi menarik perhatian semua peserta. Ustaz Fadly dalam slotnya telah membuka rahsia yang digunakan oleh barisan pelajar cemerlang Malaysia yang sedia ada selain memberi motivasi agar perasaan semangat dan ghairah memburu kejayaan wujud di dalam minda dan hati setiap peserta. Atas pengalaman ustaz dalam mengendalikan program seumpama ini sejak tahun 2003 lagi, ustaz berjaya menaikkan semangat peserta untuk mereka buktikan yang mereka juga mampu cemerlang seperti orang lain. InsyaAllah.

Sebahagian Peserta Perempuan Mengambil Gambar Kenangan Bersama Ustaz Fadly

Seminar Kecemerlangan Pelajar ini diakhiri dengan Majlis Penyampaian Sijil Penyertaan kepada semua peserta. Secara keseluruhannya, seminar kali ini berjaya dilaksanakan dengan baik tanpa ada sebarang masalah dan para peserta juga rasa gembira dengan input yang diperolehi daripada seminar yang telah dianjurkan oleh pihak Koperasi Pegawai Kerajaan Negeri Melaka Berhad ini dengan kerjasama Jazim Motivation Group Melaka. Semoga jalinan kerjasama ini dapat diteruskan lagi pada masa akan datang. Buat semua peserta, semoga anda semua berjaya dalam bidang akademik khususnya yang mengambil peperiksaan pada tahun ini.

TAHNIAH DAN SYABAS BUAT SEMUA PESERTA
KITA JUMPA DI ANGKASA KEJAYAAN

Tiada ulasan: