12 September 2009

USTAZ MOHD FADLY SAMIN - NAIB JOHAN TILAWAH AL-QURAN BELIA PERINGKAT AKHIR NEGERI MELAKA 2009

Assalamualaikum Dan Salam Satu Malaysia

JASIN - 10 SEPETEMBER : Pengarah Urusan Jazim iaitu Ustaz Mohd Fadly Bin Samin telah menyertai Majlis Tilawah Al-Quran Belia Peringkat Akhir Negeri Melaka dan berjaya mendapat tempat kedua (Naib Johan) dengan menewaskan 10 peserta akhir yang lain. Majlis Tilawah Al-Quran ini merupakan majlis tahunan anjuran Kementerian Belia Dan Sukan Dengan Kerjasama Kerajaan Negeri Melaka, Sahabat Belia Melaka, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan juga Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM).

Majlis Tilawah Al-Quran ini merupakan peringkat akhir yang mengumpulkan Johan dan Naib Johan Parlimen yang telah diadakan sebelum ini dan dikumpulkan sekali lagi bagi berentap di peringkat akhir untuk memilih juara yang akan mewakili Negeri Melaka bagi Peringkat Kebangsaan yang akan diadakan di Perak. Majlis ini juga telah dirasmikan oleh Ketua Menteri Melaka iaitu Dato Seri Hj Ali Bin Hj Rustam yang juga merupakan Presiden Gerakan Belia Malaysia.


Ust Fadly Sedang Memperdengarkan Bacaan Al-Quran Kelmarin

Johan bagi pada tahun ini telah dimenangi oleh Saudara Budiman Bin Bulindan yang juga merupakan Johan tahun lalu (2008) mewakili Melaka serta berjaya menggondol Naib Johan Kebangsaan di Selangor. Saudara Budiman mewakili Parlimen Bukit Katil merupakan seorang guru agama di sebuah sekolah rendah berjaya sekali lagi pada tahun ini mewakili Melaka. Beliau berharap menjadi Johan Kebangsaan pada tahun ini bagi mengharumkan nama Belia Negeri Melaka. Johan Tilawah kali ini membawa hadiah wang tunai RM 1000, Piala Pusingan dan Iringan, Sijil dan Hamper. Hadiah disampaikan Oleh Dato Seri Ali Bin Hj Rustam.


Ustaz Fadly Bersama Piala Yang Dimenangi Setelah Berjaya Mendapat Naib Johan

Antara kata-kata Ustaz Fadly setelah memenangi tempat kedua pada tahun ini :

"Pertama saya mengucapkan syukur kepada Allah kerana telah berjaya mendapat tempat kedua dalam Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Akhir Negeri Melaka ini memandangkan semua yang bertanding kali ini hebat-hebat belaka kerana ia mengumpulkan Johan dan Naib Johan Parlimen dan Daerah yang telah diadakan sebelum ini. Saya secara peribadi tak terfikir pun untuk berada dalam top 3 memandangkan semasa Peringkat Parlimen Tangga Batu sebelum ini saya hanya mendapat tempat kedua. Maknanya untuk berada dalam kedudukan tiga teratas dalam peringkat akhir ini memang sukar. Saya perlu menewaskan johan-johan parlimen lain selain johan parlimen Tangga Batu sendiri. Apapun berkat usaha dan iltizam saya, saya berusaha setakat yang mampu dan berjaya memperbaiki bacaan dan Tarannum saya, akhirnya saya berjaya mendapat tempat kedua dan paling gembira menewaskan johan tilawah parlimen Tangga Batu yang menewaskan saya semasa peringkat parlimen sebelum ini. Apapun saya agak terkilan juga kerana gagal mewakili Melaka. Impian untuk menewaskan Johan Tilawah tahun lepas belum tercapai tetapi saya bersyukur kerana jurang saya dengan johan tilawah tahun ini dekat memandangkan saya tewas dengan 2 markah sahaja. Saya berjaya mendapat 83 markah manakalan saudara budiman berjaya mendapat 85 markah. Syukur dan Alhamdulillah. Saya yakin tahun depan mungkin milik saya. InsyaAllah.."

Ustaz Fadly berjaya membawa balik hadiah wang tunai RM 700, Piala Iringan, Sijil dan Hamper. Warga kerja Jazim Motivation Group mengucapkan tahniah di atas kejayaan ini. Semoga impian beliau untuk menjadi Juara pada tahun depan akan tercapai. InsyaAllah. Sama-sama kita doakan. Disamping itu, pihak Jazim ingin mengingatkan kembali kepada semua sahabat yang belum membuat pengesahan untuk Majlis Iftar Jamaie tahun ini, sila buat pengesahan kehadiran anda dengan segera. Sekian sahaja dahulu laporan saya pada kali ini.

Selamat Meneruskan Amalan Di Bulan Ramadhan Al-Mubarak

6 September 2009

MAJLIS IFTAR JAMAIE ( BERBUKA PUASA ) DAN MAJLIS DI AMBANG SYAWAL JAZIM 2009

Salam Buat Sahabat Sekalian

Alhamdulillah...sedar x sedar kita dah pun berada di separuh perjalanan sebagai seorang kembara Ramadhan. Terfikir juga adakah selama dua minggu kita jalani ibadah puasa ini telah meningkatkan keimanan dan ketakwaan kita kepada Allah??? Mudah-mudahan baki perjalanan kita ini dapat kita lipat gandakan lagi amalan kita agar diri kita tergolong dikalangan orang-orang yang beriman dan bertakwa. InsyaAllah....

Majlis Iftar Jamaie & Majlis Di Ambang Syawal JAZIM 2009

Seperti tahun-tahun yang lalu, Pihak Jazim ada menganjurkan majlis berbuka beramai-ramai (iftar jamaie) dan majlis di ambang aidilfitri peringkat Jazim untuk kakitangan Jazim, guru-guru di Pusat Akademik Jazim, barisan Fasilitator Jazim Group, Ahli Kelab Sahabat Jazim, Bekas-Bekas Ahli Jazim yang lama (dari generasi pertama), dan agensi-agensi yang pernah bekerjasama dengan pihak Jazim. Kalau pada tahun yang lalu, majlis seperti ini telah diadakan di Strait Maredian Hotel dengan jumlah kehadiran mencecah 40 orang. Tapi tahun ini pihak pengurusan Jazim mengharapkan angka itu dapat dipecahkan menjadi sekurang-kurangnya 50 - 60 orang atau penyertaan. InsyaAllah..
Pada tahun ini, pengendalian projek ini telah diamanahkan kepada Sahabat Azri (ayie) selaku Pengarah Projek. Beliau sedang berusaha dengan gigih dibantu dengan kakitangan Jazim yang lain untuk memastikan penyertaan majlis kali ini mencecah sasaran dan majlis pada tahun ini lebih baik daripada tahun-tahun yang lepas. Mengikut perancangan asal, majlis ini sepatutnya telah diadakan pada 5 September yang lalu tetapi disebabkan ramai dikalangan ahli yang tidak dapat balik ke Melaka maka ia telah ditunda ke satu tarikh lain.

Berikut Butiran Lanjut Majlis Iftar Pada Tahun 2009 Ini

Tarikh : 18 September 2009 ( Jumaat )
Tempat : Restoran Terapung Tomyam Klasik Melaka
Masa : 5.00 Petang - 8.30 Malam.
Tema Pakaian : Suasana Aidilfitri ( Hari Raya ).
Bayaran : RM 30 (Dewasa) / RM 15 (Kanak-Kanak).

Sahabat-Sahabat Sekalian

Doa dan harapan agar kalian semua dapat sertai program kali ini.Banyak acara menarik telah diatur termasuk acara cabutan bertuah kepada mereka yang hadir dan penyampaian anugerah kepada mereka yang terpilih mengikut kategori. Mana tahu anda salah seorang penerima hadiah cabutan bertuah mahupun penerima anugerah tahunan Jazim.

Program ini sebenarnya secara x langsung dapat mengeratkan lagi tali sillaturrahim antara kita terutama di dalam keluarga besar Jazim ini. Mungkin ada diantara kita x pernah kenal siapa insan yang mula-mula berjuang dan membangunkan Jazim ini. Inilah peluang sahabat sekalian dapat bersama dengan mereka berkongsi cerita, pengalaman, pahit maung dan rentetan kejayaan yang telah dikecapi sehingga kini. Harapan kami di pihak pengurusan, marilah bersama-sama kita turun dan hadir ke majlis ini. Program tahunan ini jarang-jarang dapat kita laksanakan tambahan pula untuk mengumpulkan semua ahli keluarga Jazim. Ukhwah dan jalinan yang kita bina ini x sama dengan nilaian yang kita bayar RM30. Bayaran itu hanya pra syarat kita untuk kita membina jaringan keluarga ini agar ia berkembang dan terus maju.

Ajak sahabat-sahabat kita yang lain (berminat)

Sahabat-sahabat juga boleh mengajak rakan-rakan atau sahabat handai lain ke dalam majlis ini walaupun mereka bukan dikalangan ahli keluarga Jazim. Ini kerana mungkin dengan kehadiran mereka ke dalam majlis ini membuka pintu hati mereka untuk bersama-sama menjadi ahli keluarga besar Jazim. Sama-samalah kita sampaikan kepada sahabat lain tentang majlis ini agar semua dikalangan kita sedia maklum berkenaan dengan majlis iftar ini.

Sila Sahkan Kehadiran Anda Sebelum 13 September 2009

Minta kerjasama sahabat semua agar memaklumkan kehadiran sahabat dalam majlis ini.
Pihak pengurusan telah menetapkan tarikh akhir bagi sahabat mengesahkan kehadiran pada 13 September 2009. Ini bertujuan memudahkan pihak pengurusan membuat tempahan dan penyediaan hadiah dan cenderahati. Para sahabat boleh mengesahkan kehadiran melalui sms atau telefon dengan menghubungi :

En.Azri (Pengarah Projek) - 012-7595859

En.Fadly (Pengarah Urusan) - 016-6091239

Pejabat Jazim - 06-2695116 / 06-2695117

Sahabat boleh menjelaskan bayaran samaada di Pejabat Jazim atau melalui Pengarah Projek atau Pengarah Urusan Jazim sebelum atau selewat-lewatnya 18 september 2009.
Akhir kata, mohon kerjasama sahabat-sahabat sekalian, marilah bersama-sama kita menyertai majlis iftar jamaie yang julung-julung kali diadakan. Ajakla sahabat luar yang lain bagi menambahkan lagi anggota ahli keluarga besar Jazim. Kalau dapat setiap seorang dapat bawa seorang ahli baru. InsyaAllah, Jazim akan menjadi sebuah keluarga besar yang boleh menyumbang sesuatu kepada masyarakat. Sebarang masalah dan kemusykilan sila hubungi Pengarah Projek ini bagi tujuan maklumat lanjut. Kita jumpa di Majlis Iftar. INSYAALLAH...

Sekian Dulu. Selamat Beramal Di Bulan Ramadhan Al-Mubarak.

2 September 2009

CERAMAH RAMADHAN BERSAMA PENGHUNI PUSAT SERENTI TIANG DUA

Salam Ramadhan Karim Buat Sahabatku Semua

Hari ini dalam sejarah, saya dimasukkan ke Pusat Serenti Tiang Dua Melaka. Inilah kali pertama saya menjejakkan kaki di satu tempat yang menjadi igauan semua orang iaitu Pusat Serenti. Pusat ini hanya menempatkan manusia-manusia yang terlibat dengan gejala najis dadah. Ia juga sebagai tempat pemulihan diri bagi mereka yang dah terjerumus dalam kancah najis dadah ini. Uniknya di Pusat Serenti Tiang Dua ini, Ia hanya menempatkan golongan remaja berumur 23 tahun ke bawah yang sudah terlibat dengan gejala najis dadah. Tapi sebelum tu jangan ingat saya berada di sini sebagai penghuni yang terlibat dengan dadah pula. Saya datang menjejakkan kaki di sini sebagai penceramah yang dijemput khas untuk menyampaikan ceramah kepada penghuni di sini bersempena Bulan Ramadhan Al-Mubarak 1430 Hijrah.

Tepat jam 9.00 pagi saya tiba di pintu kawalan utama. Saya memperkenalkan diri dan pegawai di situ membenarkan saya masuk ke dalam kawasan pusat ini. Niat di hati dulu untuk berikan ceramah kepada kelompok seperti ini akhirnya dimakbulkan. Saya takkan melepaskan peluang keemasan ini untuk curahkan segala ilmu dan pengalaman bersama penghuni di sini demi kerja dakwah dengan harapan mereka insaf. Setelah saya parking kereta, saya disambut oleh seorang Pegawai Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) yang bernama Encik Norhaizad dan juga pegawai dari Rumahku Syurgaku (RKSK) Jabatan Ketua Menteri Melaka iaitu Encik Ehsan. Seterusnya saya di bawa berjumpa dengan Tuan Azli yang juga merupakan Ketua Kem Komanden di pusat ini. Antara perkara yang kami bualkan berkenaan dengan kehidupan penghuni di sini dan method yang digunakan untuk memulihkan mereka. Cuma apa yang saya sedih,majoriti penghuni di sini adalah bangsa melayu. Daripada data yang saya perolehi jumlah penghuni di sini seramai 117 orang dan 104 daripadanya adalah bangsa Melayu dan beragama Islam.
Saya Sedang Menyampaikan Ceramah Taqarrub Ramadhan


Setelah itu, saya dibawa oleh pegawai tadi ke surau kerana ceramah bakal diadakan di situ. Sesampai saya di sana, saya dapati semua penghuni yang beragama Islam sudah bersiap sedia berpakaian biru dan berkopiah putih. Dari riak wajah anak remaja ini, nampak sinar perubahan yang ingin diluahkan. Tepat jam 9.40 pagi, setelah diperkenalkan oleh pengerusi majlis, saya mula memberikan ceramah berkaitan Ramadhan. Banyak juga input yang dapat saya kongsikan bersama remaja ini. Apa yang saya seronok, mereka mampu memberikan tumpuan yang sepenuhnya sepanjang saya menyampaikan ceramah.

Antara Wajah Penghuni Yang Sedang Mengikuti Ceramah Saya
(wajah sengaja dihitamkan untuk mengelakkan identiti mereka dikatahui...jaga aib mereka)

Lebih kurang sejam, saya mula memberhentikan ceramah saya walaupun detik di hati rasa tidak puas. Tapi masa agak terbatas untuk saya meneruskannya. Majlis hari ini diakhiri dengan penyampaian cenderahati dan bersalam-salaman bersama penghuni di sini. Ramai yang membisik di telinga saya, “terima kasih ustaz” tak kurang juga “saya akan berubah ustaz”. Kata-kata itu membuatkan saya tersentuh mengenangkan nasib dan masa depan mereka sedangkan mereka masih muda. Mungkin ini akan memberikan pengajaran yang berguna pada diri mereka kerana dadah itu perosak masa depan dan bangsa.


Saya Menerima Cenderahati Daripada Ketua Komanden Pusat

Buat semua sahabat yang baca coretan saya ini, ingat…jangan hampiri dan dekati dengan gejala najis dadah. Sayangi diri dan keluarga anda. Pesan saya juga janganla kita memandang negatif kepada banduan mahupun bekas-bekas penghuni pusat serenti ini kerana di jiwa mereka ada naluri untuk berubah. Kita sebagai komuniti masyarakat yang bertamadun perlu memberikan sokongan positif pada mereka untuk teruskan perjuangan mereka sebagai manusia biasa seperti mana orang lain. Jam ditangan menunjukkan hampirnya jam 11 pagi, saya terus memandu kereta dan pulang semula ke pejabat dengan hati yang terbuka. Yelah, selain kita berikan dakwah pada mereka dalam masa yang sama saya belajar erti kehidupan daripada mereka semua. Oklah, Nantikan coretan saya yang seterusnya kerana selepas ini saya akan bersama dengan mahasiswa/wi UTEM untuk satu program khas sempena juga Bulan Ramadhan Al-Mubarak tahun ini. Sama-sama kita nantikan.

JAUHI DADAH !!! SAYANGI DIRI DAN KELUARGA ANDA !!!
Catatan Ini Dipetik Dari Blog Perunding Motivasi JMG : Ustaz Fadly Samin