1 Februari 2010

KURSUS MOTIVASI BINA SAHSIAH DIRI & MOTIVASI KEIBUBAPAAN TAHUN 6 SK PARIT MELANA BERSAMA JAZIM MOTIVATION GROUP MELAKA & RUMAHKU SYURGAKU (RKSK)

PARIT MELANA - 1 FEBRUARI 2010 : Unit Bimbingan & Kaunseling SK Parit Melana dengan kerjasama Bahagian Pembangunan Rumahku Syurgaku, Jabatan Ketua Menteri Melaka telah mengadakan Program Motivasi Bina Sahsiah & Motivasi Keibubapaan selama 2 hari 1 malam. Program yang disertai seramai 117 orang pelajar ini telah dikendalikan sepenuhnya oleh Jazim Motivation Group Melaka diketuai oleh Perunding Motivasi JMG iaitu Ustaz Mohd Fadly Bin Samin bersama 10 orang fasilitator juga dari Jazim Motivation Group Melaka.

Sebahagian Peserta Mendengar Taklimat Program Yang Telah Disampaikan Oleh Ustaz Fadly

Menurut Guru Kaunselor Sekolah iaitu Cikgu Arif : Ini merupakan tahun ketiga pihak sekolah bekerjasama dengan pihak RKSK dan sekali lagi Jazim Motivation Group Melaka dilantik untuk mengendalikan program pada tahun ini. Disebabkan oleh bajet dan peruntukan yang semakin mengecil tahun ini, maka pihak sekolah hanya mampu mengadakan program ini di sekolah. Apapun, saya yakin dengan kemampuan Jazim Motivation Group yang dipimpin oleh Ustaz Fadly kerana sekolah saya sudah tiga tahun bekerjasama dengan pihak Jazim Group dan hasilnya sangat berkesan kepada para pelajar saya. Kami di pihak sekolah sangat tertarik dengan method dan pengisian yang diatur oleh pihak JMG. Saya harap tahun ini sekali lagi Jazim Motivation Group memberikan yang terbaik buat anak didik SK Parit Melana.

 Aktiviti  Ice-Breaking & Group Binding Dikendalikan Oleh Fasilitator Jazim Diketuai Brother Ayie

Salah Sebuah Kumpulan Sedang Membentangkan Logo Kumpulan Mereka

Antara objektif utama program ini ialah untuk memberikan motivasi kepada para pelajar dan membentuk sahsiah diri pelajar yang terpuji. Selain itu, program ini juga melibatkan ibu bapa dalam memastikan ada kesinambungan ilmu semasa program ini berlangsung dan juga selepas program ini tamat. Oleh itu terdapat satu slot khas bersama ibu bapa (parenting) diadakan dan ia dikendalikan oleh Pengarah Urusan Jazim iaitu Ustaz Mohd Fadly Bin Samin. Selain itu, beberapa aktiviti dan pengisian telah di atur antaranya Ice Breaking, Group Binding, Group Identiti, Public Speaking, Muhasabah Diri, Ceramah Motivasi, Kuliah Mahgrib, Latihan Dalam Kumpulan (LDK), Falsafah Kapal, Kembara Malam, Solat Berjemaah dan juga Aktiviti Simulasi Minda.

Salah Sebuah Kumpulan Menerangkan Hasil Kerja Mereka Dalam Slot "Falsafah Kapal"

Fasi Jazim Iaitu Brother Lokman Bersiap Sedia Untuk Aktiviti Riadah & Team Building

Apa yang paling menarik ialah Slot Ceramah Motivasi Keibu Bapaan yang disampaikan sendiri oleh Ustaz Mohd Fadly Samin. Terdapat hampir 100 orang ibu bapa hadir bagi memberikan sokongan kepada anak-anak di samping diberikan motivasi oleh Ustaz Fadly. Dalam ceramahnya, Ustaz Fadly menasihati ibu bapa agar mendidik anak mengikut acuan Islam dan Ibu Bapa merupakan Ikon atau Role Model utama kepada anak-anak sekiranya mahukan anak-anak menjadi anak yang soleh dan solehah. Ibu Bapa juga perlu menghidupkan roh Islam dalam rumah dengan menghidupkan amalan solat secara berjemaah, Al-Quran dijadikan bacaan wajib dan dihayati selain mengawal anak-anak terhadap penggunaan teknologi canggih seperti telefon bimbit dan internet agar pemikiran anak-anak tidak diracuni unsur yang negatif. Klimaks kepada slot ini pastinya tangisan daripada ibu bapa dan anak-anak disebabkan rasa keinsafan dan penyesalan terhadap kesilapan diri yang pernah dilakukan.

Antara Kaum Ibu Yang Menitiskan Air Mata Apabila Mendengar Ceramah Ustaz Fadly

Saat Yang Paling Menyedihkan Apabila Anak-Anak Berpelukan Bersama Ibu Bapa Masing-Masing

Majlis Perasmian Penutup telah dirasmikan oleh YDP PIBG Sekolah iaitu Encik Yunos. Turut serta dalam majlis perasmian itu adalah GPK 1 SK Parit Melana yang mewakili Guru Besar. Pihak sekolah mengucapkan jutaan terima kasih atas kerjasama yang telah diberikan oleh Pihak JMG dan juga RKSK. Dalam ucapannya, GPK1 mengharapkan jalinan kerjasama ini dapat diteruskan dan pihak sekolah mahukan lagi khidmat Jazim Motivation Group pada masa akan datang. Pihak JMG juga ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak sekolah dan RKSK kerana memberi kepercayaan yang penuh kepada JMG. Menurut kata Perunding Motivasi JMG iaitu Ustaz Fadly : Kejayaan ini bukanlah hasil kerja seorang tetapi ia dikuatkan dengan jalinan kerjasama yang utuh. Terima kasih buat fasilitator saya iaitu Encik Azri, Lokman Hakim, Hizuudin Asuad, Zawawi, Sri Jeelani, Hafiz Husin, Najiha, Syazwani, Zila dan Aminah. Anda semua telah menjalankan tanggungjawab dengan baik. Semoga usaha ini akan terus berkekalan. Di sini, pihak JMG akan paparkan beberapa gambar aktiviti yang telah dijalankan sepanjang program ini berlangsung :


SEMOGA ADIK-ADIK CEMERLANG DALAM UPSR
CEMERLANG GEMILANG TERBILANG

Tiada ulasan: