19 Oktober 2009

KEM BESTARI SOLAT SK KLEBANG BESAR BERSAMA JMG

PULAU MELAKA - 15 OKTOBER 2009 : SK Klebang Besar dengan kerjasama Bahagian Pembangunan Rumahku Syurgaku (RKSK), Jabatan Ketua Menteri Melaka telah mengadakan satu program khas untuk para pelajar tahun 6 SKKB Melaka. Program yang diberi nama "Kem Bestari Solat" ini telah dikendalikan sepenuhnya oleh Jazim Motivation Group Melaka. Pihak penganjur dan Pihak RKSK sekali lagi menagih khidmat Jazim bagi memastikan program ini dapat berjalan dengan lancar dan berkesan. Oleh itu, Jazim telah mengaturkan pengisian dan aktiviti program, modul bestari solat serta membariskan 10 orang fasilitator diketuai oleh Perunding Motivasi JMG sendiri iaitu Ustaz Mohd Fadly Bin Samin dalam program yang telah diadakan di Masjid Selat, Pulau Melaka selama 2 hari 1 malam ini.


Para Peserta Disambut Oleh Ust Hizudin Asuad Di Depan Pintu Masuk Masjid Selat
 

Seramai 80 Orang Pelajar Tahun 6 SKKB Menyertai Program Kem Bestari Solat Ini

Mengikut kata jurucakap bagi pihak SKKB, program ini bertujuan memberi pendedahan dan penghayatan lebih kepada penjagaan solat lima waktu yang menjadi teras dalam kehidupan. Dalam program ini diharapkan para pelajar mengambil peluang keemasan bagi membetulkan bacaan dalam solat, memperbaiki solat agar ia lebih sempurna dan menghayati bahawa solat itu wajib dijaga dan kenapa kita sebagai seorang muslim perlu menjaganya. Selain itu, diharapkan dengan program seperti ini para pelajar tidak membuang masa kerana mereka semua sudah tamat pengajian di sekolah rendah dengan menduduki peperiksaan UPSR pada bulan September yang lalu. Dengan adanya program seperti ini, sekurang-kurangnya kelompok pelajar ini dapat menimba ilmu, diberikan motivasi dan dapat memperbaiki sahsiah diri.


Ustaz Fadly Sedang Memberikan Taklimat Program Kepada Para Peserta

Para Peserta Khusyuk Melihat Aturcara Program Dalam Buku Modul Yang Disediakan

Program dimulakan dengan sesi taklimat yang telah disampaikan oleh Perunding Motivasi JMG iaitu Ustaz Mohd Fadly Bin Samin. Dalam sesi ini, para pelajar diberi penerangan tentang perjalanan program serta aktiviti yang bakal dijalankan. Selain itu para peserta telah diberitahu tentang segala peraturan dan undang-undang yang perlu diikuti sepanjang program ini berlangsung. Dalam sesi taklimat ini juga, para peserta telah diperkenalkan dengan Barisan Fasilitator Jazim yang akan turut bersama menjayakan program ini. Semua peserta juga telah dibekalkan dengan fail, buku modul, pen, kertas A4 dan tag nama.


Aktiviti Latihan Dalam Kumpulan (LDK) Bersama Fasilitator Jazim

Para Peserta Sedang Mencipta Logo Kumpulan Dalam Aktiviti Group Binding

Semua Kumpulan Dikehendaki Membentangkan Hasil Kerja Kumpulan Masing-Masing


Antara Aksi Para Peserta Dalam Menerangkan Identiti Kumpulan Kepada Peserta Lain

Ustaz Fadly Memberikan Komentar Kepada Salah Satu Team Yg Membuat Pembentangan

Antara aktiviti yang telah disusun oleh Pihak Jazim ialah Ceramah Motivasi, Slot Muhasabah Diri, Aktiviti Ice-Breaking, Group Binding, Pembentangan Kumpulan, Qiammullail, Team Building dan Latihan Dalam Kumpulan ( LDK ) meliputi LDK tentang amali solat, bacaan penting dalam solat dan penghayatan solat. Rata-rata para peserta seronok mengikuti setiap aktiviti yang dijalankan. Bagi berkongsi keseronokan aktiviti yang dijalankan, jom kita lihat beberapa koleksi gambar yang memaparkan aktiviti sepanjang program berlangsung.













Majlis Penutup Pe.rasmian telah diadakan sebelah pagi sebelum Solat Jumaat. Apa yang menarik Majlis Perasmian ini telah dirasmikan oleh Pengarah RKSK JKMM iaitu Ustaz Johari Bin Yusof. Dalam ucapannya, beliau menasihati pelajar agar terus berusaha menjadi anak yang soleh kerana semua ibu bapa inginkan anak-anak yang baik dan berjaya di dunia dan akhirat. Beliau juga sempat berkongsi cerita semasa zaman kanak-kanak beliau dan nasihat-nasihat yang boleh memberikan kesedaran kepada pelajar. Turut sama dalam Majlis Perasmian Penutup Kem Bestari Solat 2009 ialah Pengarah Urusan Jazim, Guru Besar SK Klebang Besar, GPK HEM SK Klebang Besar, Pegawai dari RKSK Dan Sebahagain Guru dari SKKB. Majlis ditutupi dengan penyampaian cenderahati kepada semua fasilitator dan Pengarah RKSK JKMM.





Rata-rata para peserta gembira mengikuti program ini. Ini dibuktikan apabila 90% daripada peserta inginkan program ini disambung lagi apabila ditanya oleh Pengarah RKSK dalam ucapan perasmian beliau. Bagi pihak Jazim ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada Pihak RKSK atas kepercayaan yang tak berbelah bagi kepada Jazim bagi menguruskan dan mengaturkan program-program seliaan RKSK. Terima kasih juga buat Barisan Fasilitator Jazim, Sahabat Ayie, Hizudin, Zulhelmi, Mubarak, Sri Jeelani, Hafiz, Rawdha, Awiyah, Hidayah, Nadhirah, Syafinas, Syamimi dan Kak Zila. Semoga usaha kita akan diberkati Allah. InsyaAllah.

HIDUP JMG !!! HIDUP JMG !!! HIDUP JMG !!!
JMG SEMEMANGNYA BEST !!!


14 Oktober 2009

PROGRAM KE MANA AKU SELEPAS UPSR BERSAMA JAZIM MOTIVATION GROUP ( JMG ) DI SK BUKT BARU NEGERI MELAKA


BUKIT BARU, 7 OKTOBER 2009 - Unit Bimbingan Dan Kaunseling Sekolah Kebangsaan Bukit Baru telah mengadakan satu program khas yang dinamakan Ke Mana Aku Selepas UPSR. Program yang diatur khas ini adalah untuk para pelajar tahun 6 sekolah tersebut. Bagi memastikan pengisian dan perjalanan program berjalan dengan baik, pihak sekolah sekali lagi telah menjemput dan menggunakan khidmat Jazim Motivation Group. Maka pihak JMG diketuai oleh Moderatornya iaitu Ustaz Mohd Fadly Bin Samin bersama 6 orang fasilitator telah turun ke Sekolah Kebangsaan Bukit Baru bagi membantu mengendalikan program ini dengan pengisian yang juga telah diaturkan oleh pihak JMG.




Program yang disertai seramai 150 orang pelajar tahun 6 ini telah dimulakan dengan ucapan Guru Besar iaitu Puan Hjh Noraisyah yang juga isteri kepada Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Melaka iaitu Tuan Hj Isa. Selepas itu slot ceramah motivasi telah disampaikan oleh Kaunselor Sekolah iaitu Pn Rasyidah. Dalam slot motivasi ini Pn Rasyidah telah mengingatkan para peserta agar terus mengejar kecemerlangan walaupun UPSR sudah berakhir. Ini kerana UPSR adalah platform pertama para pelajar sebelum berjuang ke medan yang lebih susah iaitu PMR dan SPM. Pn Rasyidah juga mengingatkan para peserta dalam ceramahnya agar selalu berfikir dalam melakukan sesuatu perkara. Cabaran mereka sebagai seorang pelajar juga semakin besar. Ini disebabkan para pelajar akan berhijrah ke alam remaja dan suasana persekitaran persekolahan yang amat berbeza iaitu alam persekolahan menengah.




Selepas slot ceramah motivasi, giliran fasilitator JMG mengambil tugas dengan mengadakan aktiviti Latihan Dalam Kumpulan (LDK). Dalam slot LDK ini, para pelajar bersama fasilitator akan berbincang ke mana hala tujuan selepas UPSR, cabaran-cabaran yang akan dihadapi dan langkah-langkah yang boleh diambil bagi memastikan kecemerlangan terus dicapai selepas UPSR ini. Slot LDK ini berjalan selama satu jam dan berhenti rehat.

Selepas para peserta berehat, aktiviti seterusnya adalah slot Muhasabah Diri yang telah dikendalikan oleh Ust Fadly. Dalam slot ini, Ust Fadly mengajak para peserta menilai diri adakah selama 6 tahun kita belajar di sekolah akan menghasilkan sesuatu yang manis atau sebaliknya. Selain itu, Ust Fadly meminta para peserta merenung akan kelemahan diri dan kekuatan diri yang kita pinggirkan selama ini. Di penghujung slot ini ust Fadly mengajak para peserta merenung dan berfikir apakah sumbangan dan hadiah yang ingin kita berikan kepada dua insan yang telah banyak berjasa pada kita iaitu Ibu dan Ayah. Secara keseluruhan, para peserta mengakui banyak kesilapan yang pernah dilakukan sebelum ini dan mereka berazam agar kesilapan lalu tidak akan diulangi demi memastikan kejayaan dan kecemerlangan terus dikejar.







Program ini telah bermula jam 8.00 pagi dan berakhir jam 1.00 petang. Majlis diakhiri dengan penyampaian cenderahati kepada Jazim Motivation Group melalui Perunding Motivasi JMG iaitu Ustaz Mohd Fadly Bin Samin. Penyampaian cenderahati ini telah disampaikan oleh Guru Penolong Kanan HEM (GPK HEM) Sekolah Kebangsaan Bukit Baru Melaka iaitu Puan Aminah.

Selepas acara penyampaian cenderahati, JMG telah dibawa ke Bilik Mesyuarat untuk Jamuan Tengahari. Pihak sekolah mengucapkan jutaan terima kasih atas kerjasama yang telah diberikan. Pihak JMG pula mengucapkan jutaan terima kasih kepada Pihak Sekolah atas kepercayaan yang berterusan diberikan kepada Pihak JMG.

SEMINAR SPM 2009 BERSAMA JAZIM MOTIVATION GROUP ( JMG ) DI AUDITORIUM PERPUSATAKAAN AWAM NEGERI MELAKA


BUKIT BARU, 3 OKTOBER 2009 - Belia 4B Bukit Meta dengan kerjasama One Stop Consultancy telah mengadakan satu seminar kepada calon-calon SPM 2009 yang telah diadakan di Auditorium Perpustakaan Awam Melaka (Perpustam). Seminar sehari ini telah dihadiri seramai 80 orang calon SPM yang telah terpilih dari sekitar Negeri Melaka. Dalam seminar ini, peserta akan didedahkan dengan teknik menjawab soalan, bengkel SKOR A dan Slot Khas bersama Perunding Motivasi Jazim Motivation Group iaitu Ustaz Mohd Fadly Bin Samin.


Slot Khas Bersama Ust Fadly : Ceramah Motivasi SPM "Pecutan Terakhir"
Dalam seminar ini seramai 3 orang penceramah telah dipilih untuk memberikan ceramah dalam Program Seminar SPM 2009 ini. Antaranya Dr. Johar yang juga merupakan CEO One Stop Counsultancy, Ust. Fadly merupakan Motivator Jazim Motivation Group merangkap Panel Penceramah Khas RKSK JKMM dan Encik Yusri dari IMM Melaka. Secara keseluruhannya para peserta seronok dan gembira mengikuti seminar ini. Ia dapat membantu calon-calon SPM 2009 lebih bersedia dan mencapai keputusan yang cemerlang. Program Seminar SPM ini bermula jam 8.30 pagi dan berakhir jam 5.00 petang.

Aksi Ust Fadly Dalam Ceramah Motivasinya Di Dalam Program Seminar SPM Kelmarin.

6 Oktober 2009

KELAB SAHABAT JMG ANJUR PROGRAM KONVOI RAYA JMG 2009.

Assalamualaikum Dan Salam Aidilfitri
26 September 2009 : Kelab Sahabat JMG telah menganjurkan satu program khas sempena Aidilfitri iaitu Program Konvoi Raya JMG. Program ini telah diadakan pada 26 September 2009 bersamaan 7 Syawal 1430 Hijrah. Konvoi yang diketuai oleh Saudara Lokman Hakim Ibrahim ini telah disertai seramai 16 orang Ahli Kelab Sahabat JMG dengan tujuan agar program ini dapat mengeratkan tali silaturrahim antara ahli kelab serta ahli keluarga yang lain. Ia secara tidak langsung memberi peluang kepada ahli kelab yang ikut serta hadir dan tahu di mana lokasi rumah-rumah Sahabat JMG dan berpeluang mengenali ahli keluarga mereka dengan lebih rapat lagi. Apa yang menarik, Perunding Motivasi JMG iaitu Ustaz Mohd Fadly Bin Samin dan Presiden Kelab Sahabat JMG Ustaz Mohd Hafiz yang sudi meluangkan masa dan ikut serta berkonvoi ke rumah Sahabat-Sahabat Jazim yang telah bersetuju agar rumah mereka dikunjungi. Lebih kurang 12 buah rumah bakal dikunjungi rombongan Konvoi JMG.

Program ini bermula pada jam 10 pagi dan semua ahli Sahabat JMG yang ingin turut serta dikehendaki berkumpul di rumah Ustaz Fadly dahulu yang juga rumah pertama dikunjungi. Terdapat 6 buah kereta yang bakal berkonvoi diketuai Saudara Lokman Hakim Ibrahim. Setiap rumah yang dikunjungi, ahli Sahabat JMG akan mengadakan tahlil ringkas dan bacaan doa yang diketuai oleh Presiden Kelab iaitu Ustaz Hafiz. Bab juadah makan tak usah cakap. Naik pecah perut dibuatnya. Setiap rumah menyediakan hidangan dan jamuan yang sungguh istimewa. Antaranya Mee Kari, Mee Goreng, Nasi Lemak, Lemang, Ketupat dan ada yang buat nasi putih makan dengan Tomyam dan Ikan Bakar. Pergh... kata orang Melaka.
Rumah pertama Ustaz Fadly then rumah Aishah, rumah Azri, rumah Azman, rumah Rawdha. Selepas rumah Rawdha, rombongan konvoi berehat dan menunaikan solat zohor di Surau Taman Desa Molek. Selepas itu terus ke rumah Ustaz Fakhrul. Then rumah Ustaz Hizudin, rumah Nurul Huda, rumah Aminah. Selepas rumah Aminah, rombongan konvoi berehat dan menunaikan solat Asar di Masjid Bukit Piatu. Selepas tu terus ke rumah Zulhelmi, rumah Hajar dan berakhir di rumah Faiz Zainalabidin. Kami berjemaah menunaikan solat Mahgrib di Masjid Krubong Melaka. Program ini tamat lebih kurang jam 10 Malam. Rata-rata semua yang menyertai konvoi ini gembira kerana dapat berjumpa sekali lagi dan ceria apabila program ini dapat dijalankan dengan lancar.
Berikut antara koleksi gambar sepanjang Program Konvoi Raya JMG 2009.


Ahli Kelab Sahabat Jazim Bersiap Sedia Untuk Memulakan Perjalanan Dalam Konvoi Raya JMG

Presiden Kelab Sahabat JMG (Ust Hafiz) Sedang Membacakan Doa Di Rumah Ustaz Fadly

Kenangan : Ahli Kelab Sahabat JMG Bergambar Di Depan Rumah Ustaz Fadly

Suasana Kemeriahan Di Rumah Cik Siti Aisyah Yasiudin

Ahli Kelab Sahabat Jazim Bergambar Di Rumah Cik Siti Aisyah Yasiudin

Suasana Kemeriahan Di Rumah Sahabat Jazim : Saudara Mohd Azri Md Yatim

Ahli Kelab Sahabat Jazim Bergambar Di Dalam Rumah Mohd Azri Md Yatim

Melepaskan Penat Dan Melepaskan Apa Yang Boleh Dilepaskan Di Rumah Saudara Azman

Bacaan Doa Diketuai Oleh Ustaz Hafiz Di Rumah Sahabat Jazim Cik Siti Awiyah Ahmad

Kenangan Bergambar Semua Sahabat Jazim Di Rumah Cik Siti Awiyyah Ahmad

Sebahagian Sahabat Jazim Sedang Menikmati Juadah Di Tumah Ustaz Fakhrul Islam

Suasana Kemeriahan Di Rumah Sahabat Ustaz Fakhrul Islam

Sebahagian Sahabat Jazim Wanita Bergambar Di Rumah Sahabat Cik Nurul Huda

Ustaz Hafiz Sedang Membacakan Doa Dan Diaminkan Oleh Sahabat Jazim Yang Lain

Semua Ahli Kelab Sahabat Jazim Bergambar Untuk Dijadikan Kenangan Di Rumah Cik Nurul Huda

Sekali Lagi Ustaz Hafiz Mengetuai Bacaan Doa Di Rumah Sahabat Cik Aminah Abdullah

Semua Ahli Kelab Sahabat Bergambar Di Rumah Sahabat Cik Aminah Abdullah
Terdapat beberapa gambar lagi yang belum dapat dimasukkan. InsyaAllah saya akan memasukkan gambar-gambar lain seperti gambar di rumah Rawdha, rumah Hajar, rumah Zulhelmi dan Rumah Faiz Zainalabidin. Apapun terima kasih kepada semua Sahabat JMG yang telah sudi menjadikan rumah mereka sebagai persinggahan rombongan konvoi JMG. Semoga pada tahun akan datang program seperti ini akan dapat diadakan lagi. Amin.


MAJLIS IFTAR JAMAIE JMG DI RESTORAN TOMYAM KLASIK MERIAH !!!

Assalamualaikum Dan Salam Aidilfitri

18 September 2009 : Jazim Motivation Group Melaka Dengan Kerjasama Kelab Sahabat Jazim Dan Pusat Akademik Jazim Telah Mengadakan Satu Program Tahunan Iaitu Majlis Iftar Jamaie (Berbuka Puasa) Dan Majlis Di Ambang Syawal. Program Ini Telah Diadakan Di Restoran Terapung Tomyam Klasik, Batu Berendam Melaka Dan Telah Dihadiri Seramai 50 Orang Ahli Kelab Sahabat Jazim. Majlis Pada Tahun Ini Lebih Istimewa Apabila Disertai Oleh Pegawai-Pegawai Dari Rumahku Syurgaku, Jabatan Ketua Menteri Melaka ( RKSK JKMM ).


Ustaz Fadly Menyampaikan Ucapan Perasmian. Majlis Ini Telah Diadakan Di Restoran Tomyam Klasik.

Apa yang menarik, semua tetamu yang hadir memakai pakaian yang cantik dan mewujudkan suasana Hari Raya. Penulis dapat tahu ada sahabat yang sanggup beli baju baru semata-mata untuk hadir ke majlis ini. Wah. semangat betul ahli kelab sahabat jazim ni. Sementara menunggu semua tetamu hadir, selingan lagu Ramadhan dan Hari Raya dipasang bagi menceriakan dan menghidupkan lagi suasana. Ia sesuai sangat dengan konsep majlis yang diadakan.

Majlis bermula tepat jam 6.oo petang setelah semua tetamu jemputan hadir dan berkumpul dalam dewan berhawa dingin yang ditempah khas oleh Pihak Pengurusan Jazim. Majlis telah di hoskan oleh gabungan dua generasi Ahli Kelab Sahabat Jazim iaitu saudara Jaamat - orang lama Jazim dan Siti Rawdha - kerani kewangan Jazim (Orang Baru). Aturcara majlis sebelum berbuka lebih kepada acara formal iaitu ucapan dan penyampaian cenderahati. Ucapan telah disampaikan oleh saudara Mohd Azri selaku pengarah program, Ustaz Seri Jeelani bagi wakil Pengarah RKSK JKMM dan ucapan perasmian oleh Ustaz Mohd Fadly Bin Samin selaku Moderator dalam Jazim Motivation Group Melaka.



Gandingan Pengerusi Majlis Selepas Berbuka : Zulhelmi & Rawdha - Berjaya Memeriahkan Suasana.


Saudara Mohd Azri Md Yatim (Pengarah Program) Sedang Memberikan Ucapan Alu-Aluan.


Ustaz Seri Jeelani ( Wakil Pengarah RKSK JKMM ) Sedang Memberikan Amanat & Ucapan Penghargaan.

Setelah selesai kesemua acara ucapan, tiba masanya acara penyampaian baju vest yang ditempah khas oleh Pihak RKSK JKMM kepada 10 Fasilitator yang dipilih untuk menerima baju vest RKSK JKMM ini. Majlis ini telah disempurnakan oleh wakil Pengarah iaitu Ustaz Seri Jeelani dan Encik Hafiz Bin Husin. Ini sebenarnya satu pengiktirafan pihak RKSK JKMM kepada Jazim Group hasil usahasama dalam menjayakan beberapa program motivasi di seluruh Negeri Melaka. Dalam ucapan Wakil Pengarah RKSK JKMM, Ustaz Seri Jeelani memberitahu Jazim Group Motivation merupakan konsultan yang terbaik dan menjadi pilihan utama RKSK. Oleh sebab itu RKSK berbesar hati untuk menghadiahkan baju vest ini kepada pihak JMG. Satu pengiktirafan yang besar daripada Kerajaan Negeri Melaka. Tahniah kepada ahli sahabat yang terpilih dan tahniah juga kepada pihak pengurusan Jazim yang berusaha gigih.


Majlis Diserikan Lagi Dengan Persembahan Nasyid Oleh Team Nasyid Irfan Seliaan Kelab Sahabat Jazim


Barisan Pegawai-Pegawai Dari Rumahku Syurgaku Jabatan Ketua Menteri Melaka (RKSK JKMM) Yang Hadir


Sebahagian Ahli Kelab Sahabat Jazim ( Lelaki ) Bergambar Kenangan Semasa Majlis Iftar Berlangsung


Wajah Keceriaan Terpancar Di Wajah Sebahagian Ahli Kelab Sahabat Yang Hadir

Ustaz Seri Jeelani Bersiap Sedia Untuk Menyarungkan Baju Vest Sambil Diperhatikan Ust Fadly & En Hafiz

Ustaz Seri Jeelani Sedang Menyarungkan Baju Vest RKSK Kepada Saudara Azri Md Yatim Yang Terpilih

Ustaz Fadly Sedang Disarungkan Baju Vest Oleh Ust Seri Jeelani Sambil Diperhatikan En Hafiz

Sementara menunggu azan berkumandang, Team Nasyid Irfan seliaan Kelab Sahabat Jazim telah menyembahkan persembahan istimewa dengan lagu-lagu nasyid, zikir dan qasidah. Persembahan ini telah menarik minat semua tetamu yang hadir. Tepat jam 7.11 malam, ustaz Azman telah melaungkan azan. Semua tetamu menjamu selera. Majlis berhenti rehat dan memberi laluan kepada semua yang hadir untuk menikmati juadah dan solat mahgrib.

Tepat jam 8.00 malam, majlis bersambung kembali dengan acara-acara penyampaian anugerah dan hadiah tahunan Jazim seperti Anugerah Fasilitator Terbaik, Anugerah Harapan dan Anugerah Khas Jazim. Sebanyak 15 Kategori telah disediakan. Majlis digamatkan lagi dengan slot cabutan bertuah. Sebanyak 15 cabutan disediakan. Majlis diakhiri dengan penyampaian cenderahati pihak Jazim kepada pihak RKSK JKMM.
Ustaz Fadly Menyampaikan Cenderahati Kepada Wakil Pengarah RKSK JKMM Sebagai Tanda Penghargaan

Sebelum majlis bersurai, semua tetamu mengambil peluang untuk bermaaf-maafan antara satu sama lain dan mengambil gambar kenang-kenangan. Secara keseluruhan majlis dapat berjalan dengan lancar dan meriah dengan gelak ketawa, gurau senda, dan tukar cerita ahli kelab semua. Penulis bagi pihak Pengurusan Jazim mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua yang hadir. Terharu rasanya apabila ada sahabat dari Selangor, Kuala Lumpur, Pahang dan Johor sanggup turun Melaka walaupun majlis ini diadakan selang satu hari menjelang Syawal. Tepat jam 9.00 malam majlis bersurai dan semua tetamu pulang dengan hati yang gembira.

InsyaAllah, jika ada umur yang panjang kita jumpa lagi tahun hadapan. Amin.
Selamat Hari Raya Aidilfitri & Maaf Zahir Dan Batin.