14 Oktober 2009

PROGRAM KE MANA AKU SELEPAS UPSR BERSAMA JAZIM MOTIVATION GROUP ( JMG ) DI SK BUKT BARU NEGERI MELAKA


BUKIT BARU, 7 OKTOBER 2009 - Unit Bimbingan Dan Kaunseling Sekolah Kebangsaan Bukit Baru telah mengadakan satu program khas yang dinamakan Ke Mana Aku Selepas UPSR. Program yang diatur khas ini adalah untuk para pelajar tahun 6 sekolah tersebut. Bagi memastikan pengisian dan perjalanan program berjalan dengan baik, pihak sekolah sekali lagi telah menjemput dan menggunakan khidmat Jazim Motivation Group. Maka pihak JMG diketuai oleh Moderatornya iaitu Ustaz Mohd Fadly Bin Samin bersama 6 orang fasilitator telah turun ke Sekolah Kebangsaan Bukit Baru bagi membantu mengendalikan program ini dengan pengisian yang juga telah diaturkan oleh pihak JMG.




Program yang disertai seramai 150 orang pelajar tahun 6 ini telah dimulakan dengan ucapan Guru Besar iaitu Puan Hjh Noraisyah yang juga isteri kepada Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Melaka iaitu Tuan Hj Isa. Selepas itu slot ceramah motivasi telah disampaikan oleh Kaunselor Sekolah iaitu Pn Rasyidah. Dalam slot motivasi ini Pn Rasyidah telah mengingatkan para peserta agar terus mengejar kecemerlangan walaupun UPSR sudah berakhir. Ini kerana UPSR adalah platform pertama para pelajar sebelum berjuang ke medan yang lebih susah iaitu PMR dan SPM. Pn Rasyidah juga mengingatkan para peserta dalam ceramahnya agar selalu berfikir dalam melakukan sesuatu perkara. Cabaran mereka sebagai seorang pelajar juga semakin besar. Ini disebabkan para pelajar akan berhijrah ke alam remaja dan suasana persekitaran persekolahan yang amat berbeza iaitu alam persekolahan menengah.




Selepas slot ceramah motivasi, giliran fasilitator JMG mengambil tugas dengan mengadakan aktiviti Latihan Dalam Kumpulan (LDK). Dalam slot LDK ini, para pelajar bersama fasilitator akan berbincang ke mana hala tujuan selepas UPSR, cabaran-cabaran yang akan dihadapi dan langkah-langkah yang boleh diambil bagi memastikan kecemerlangan terus dicapai selepas UPSR ini. Slot LDK ini berjalan selama satu jam dan berhenti rehat.

Selepas para peserta berehat, aktiviti seterusnya adalah slot Muhasabah Diri yang telah dikendalikan oleh Ust Fadly. Dalam slot ini, Ust Fadly mengajak para peserta menilai diri adakah selama 6 tahun kita belajar di sekolah akan menghasilkan sesuatu yang manis atau sebaliknya. Selain itu, Ust Fadly meminta para peserta merenung akan kelemahan diri dan kekuatan diri yang kita pinggirkan selama ini. Di penghujung slot ini ust Fadly mengajak para peserta merenung dan berfikir apakah sumbangan dan hadiah yang ingin kita berikan kepada dua insan yang telah banyak berjasa pada kita iaitu Ibu dan Ayah. Secara keseluruhan, para peserta mengakui banyak kesilapan yang pernah dilakukan sebelum ini dan mereka berazam agar kesilapan lalu tidak akan diulangi demi memastikan kejayaan dan kecemerlangan terus dikejar.







Program ini telah bermula jam 8.00 pagi dan berakhir jam 1.00 petang. Majlis diakhiri dengan penyampaian cenderahati kepada Jazim Motivation Group melalui Perunding Motivasi JMG iaitu Ustaz Mohd Fadly Bin Samin. Penyampaian cenderahati ini telah disampaikan oleh Guru Penolong Kanan HEM (GPK HEM) Sekolah Kebangsaan Bukit Baru Melaka iaitu Puan Aminah.

Selepas acara penyampaian cenderahati, JMG telah dibawa ke Bilik Mesyuarat untuk Jamuan Tengahari. Pihak sekolah mengucapkan jutaan terima kasih atas kerjasama yang telah diberikan. Pihak JMG pula mengucapkan jutaan terima kasih kepada Pihak Sekolah atas kepercayaan yang berterusan diberikan kepada Pihak JMG.

Tiada ulasan: