10 November 2009

SLOT CERAMAH MOTIVASI BERSAMA JMG DI DALAM SEMINAR PEMANTAPAN INSAN TINGKATAN ENAM PERINGKAT NEGERI MELAKA.


KEM LANCANG - 7 NOVEMBER 2009 : Yayasan Jasin dengan kerjasama Pihak PEMADAM, MAPIM dan PPD Jasin Melaka telah mengadakan satu program khas yang diberi nama "Seminar Pemantapan Insan Tingkatan 6 (2009)". Program 3 Hari 2 Malam ini telah diadakan di Kem Lancang, Merlimau, Jasin, Melaka dan telah disertai seramai 100 orang peserta yang terdiri daripada para pelajar tingkatan 6 yang dipilih dari seluruh Melaka dan juga Negeri Sembilan. Apa yang menarik, pihak penganjur telah menjemput Perunding Motivasi Jazim Motivation Group iaitu Ustaz Mohd Fadly Bin Samin untuk menyampaikan ceramah motivasinya pada malam kedua program tersebut. Ustaz Fadly bersama pembantu setianya iaitu Sahabat Ayie hadir pada malam yang dijanjikan dengan semangat yang tinggi bagi membantu dan berkongsi ilmu dengan semua para peserta.



Menurut kata Penyelaras Program iaitu Tn Hj Ibrahim Bin Hj Senin, program ini sepatutnya telah diadakan pada bulan Julai yang lalu tetapi memandangkan pada waktu itu penyakit H1N1 sedang merebak di Melaka, maka program itu telah ditangguhkan dan dengan izin Allah, ia telah dapat diadakan pada hari ini. Menariknya, program ini akan dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pertanian Dan Industri Asas Tani Malaysia iaitu YB Datuk Wira Mohd Johari Bin Baharum.



Slot Ceramah Motivasi bersama Ustaz Fadly ini menekankan aspek Pemantapan Sahsiah sesuai dengan tajuk ceramah yang diberikan iaitu "Pemantapan Iman & Sahsiah Diri Medium Menuju Kecemerlangan Diri" Turut serta mendengar ceramah motivasi beliau ialah Dato' Hjh Ramlah Bte Abas yang merupakan YDP Pemadam Melaka dan juga merupakan bekas ADUN Rim Jasin. Dalam ceramah ini, Ustaz Fadly berjaya menarik perhatian para peserta dengan lawak jenakanya dan alunan suaranya dalam memperdengarkan ayat-ayat suci Al-Quran. Seperti biasa, ceramah dimulai dengan alunan lagu dan kali ini lagu Iman Adalah Mutiara dendangan kumpulan Nasyid Raihan menjadi pilihan beliau.



Dihujung slot ceramah kali ini, Ustaz Fadly menyelitkan satu slot khas iaitu Muhasabah Diri. Dalam slot ini, para peserta akan diuji dengan tahap kejujuran, imbas kesilapan dan mohon kemaafan. Pihak penganjur rasa terharu apabila Ustaz Fadly bersama sahabatnya iaitu saudara Ayie dapat menyentuh hati dan perasaan peserta apabila keseluruhan para peserta mengalirkan air mata dan menanam rasa keinsafan dalam diri. Dapat dilihat juga guru-guru pengiring dari Negeri Sembilan, Setiusaha Pemadam Negeri Sembilan dan tak ketinggalan Dato Hjh Ramlah Abas turut mengalirkan air mata.



Dihujung slot ini para peserta diberi peluang untuk memohon maaf antara satu sama lain. Ustaz Fadly secara peribadinya berasa syukur dan gembira apabila melihat dari riak wajah para peserta untuk berubah dan insaf atas kesilapan yang lalu. Diakhir program ini adalah acara penyampaian cenderahati kepada penceramah iaitu Ustaz Mohd Fadly Bin Samin dari Jazim Motivation Group Melaka. Cenderahati telah disampaikan oleh YDP Pemadam Negeri Melaka iaitu Dato' Hjh Ramlah Bin Abas. Pihak Jazim mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak penganjur terutama Yayasan Jasin Melaka atas jemputan kali ini. Mudah-mudahan pada masa akan datang, kerjasama seperti ini dapat dijalinkan lagi. InsyaAllah...



***SELAMAT MAJU JAYA & SELAMAT BERAMAL***

Tiada ulasan: